Nuffnang

Penaja

Isnin, 30 September 2013

Nur Iman Umayrha


Nur,
Cahaya
Yang menerangi
Dunia walid dan umi.
Iman,
Percaya
Yang hadirmu
Anugerah melengkapkan kehidupan.

Umayrha,
Pipi yang kemerahan
Yang sejak awalnya
Cukup menyejukkan mata memandang.

Lahirmu
Anakku
Ke dunia
Ketika kami
Masih bergelut
Tentang makna kehidupan
Ketika kami
Masih mencari-cari
Tentang keselesaan kehidupan
Kerana
Tidak mahu
Hidupmu serba kurang
Kerana
Tahu
Anugerah yang diberikan Tuhan
Amat besar tanggungannya
Untuk diabaikan.
Ketika
Meniti hari-hari
Kehidupanmu
Anakku,
Kami masih mentah
Tak tahu
Menilai apa yang perlu
Tiap degup nafasmu
Menghela syukur
Tak putus
Dan ketika mana
Tangis jerit
Bercucuran air mata
Berguguran jantung ini
Berantakan hati ini
Dan
Ketika kau mengukir senyum
Enak rehat dalam pangkuan
Hilang segala
Beban
Kami
Hilang segala
Kecelaruan
Kami
Hilang segala
Penderitaan
Kami.
Nur Iman Umayrha
Anakku
Anugerah kasih
Dari tuhanku,
Menitilah hari-hari
Yang berliku
Untuk kelak nanti
Ketika kami
Masih bernafas lagi
Kau telah
Pantas berlari
Mengejar mimpi
Berjaya menggenggam
Janji.
Cepatlah sihat
Anakku.
Kampung Sungai Sekamat
Kajang
29 September 2013

Ahad, 29 September 2013

Jerit Tangis


Jerit tangis
Yang kedengaran
Menyimpul sesak
Dada ini
Menyesakkan
Hingga membabas
Mengakibatkan
Tingkah laku
Yang ragu
Cemas sentiasa
Akal hilang
Menghampir
Hanya perasaan
Kosong yang
Semakin celaru.

Jerit tangis
Yang kedengaran
Masih lagi bersahut
Tak mahu surut
Menyulit tindak
Mencari damai
Hingga
Benar-benar
Tangis sendu
Itu sembuh
Dari
Segala keliru
Yang meragu.

Jerit tangis
Yang kedengaran
Yang masih
Tak surut
Diharap
Sempat ditenang
Kerna hati ini
Semakin keliru.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
27 September 2013


Jumaat, 27 September 2013

Tepuklah Dada


Perangai yang elok
Disorok
Tak diketahui
Ceracak-ceracak
Sifat yang
Melompong tak
Mampu diselindung
Walau dikabur
Dengan cermat.

Di celah
Segala penipuan
Yang ditujukan
Demi mendamping
Segala nikmat
Untuk dilanggar
Yang sia-sia
Itulah yang
Dilumba-lumba
Direbut
Menggadai
Kebenaran.

Mengapa?
Tepuklah dadamu,
Tanyalah imanmu.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
27 September 2013

Topeng


Bertopeng
Kau ke sana
Bertopeng
Kau ke sini
Menjaja mimpi
Tentang indah
Penuh madah
Yang kau asyik
Menopengkan
Kesimpulannya
Yang entah
Kau tahu
Atau tidak
Duduk letak
Perkara
Yang kau
Canang-canangkan.

Yang pasti
Kelihatan
Petah kau
Menyakinkan
Untuk mereka
Semua mengikut
Sahaja
Ke jeluran
Paling dalam
Paling jahanam
Kerana
Topeng yang kau pakai
Sambil kau menopengkan
Kepalsuan dari kebenaran
Cukup menyakinkan!

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
28 September 2013

Ribut Berita II


Sesudah berjejak
Kaki ke
Tanah yang damai
Usai dari
Kecamuk
Ribut berita
Di tengah
Samudera
Pengalaman
Kini
Dipukul kembali
Dengan kilas
Angin dari
Hembus kasar
Ribut berita
Yang kembali
Membadai
Walau di tengah
Daratan
Walau cukup
Tahu ianya
Untuk mematangkan.

Aduh,
Mengapa
Berterusan
Dibadai
Ribut berita
Untuk kesekelian
Kalinya?

Hospital Kajang
22 September 2013

Rehatlah


(Didedikasikan Untuk Keluarga Almarhum Ustaz Azizan)

Redup hari ini
Berpanjang dari
Terbit fajar
Hingga mentari
Sembunyi di
Ufuk barat
Bagai memberi
Petanda
Akan sayu
Jasad kaku
Bertangis syahdu
Sesal mendayu.

Rehatlah,
Getar suara
Yang bergelut
Sejak bertimpa
Malang dari
Saat kejatuhan
Tak menggagal
Semangat untuk
Ingin tahu
Ingin membantu
Walau sekarang terdengar
Suara-suara kesal
Yang dahulunya
Lantang menyanggah
Mula perlahan mengalun
Sesal puji berpanjang
Moga yang
Bakal mendatang
Tempel nista
Yang dicalitkan
Tak terulang
Untuk sedar mana
Perlu dielak
Perangkap senyap
Kesilapan.

Rehatlah,
Lontar buah fikirmu
Walau ramai yang
Dahulu tak sepakat
Tak dirunsing sesaat
Walau ada terdengar
Tegur yang kasar
Kilas yang pedas
Masih lagi
Penuh bermadah
Penanda sayang
Yang tak mahu
Ditunjukkan
Kerna tak mahu
Dimanjakan.

Rehatlah,
Perjuangan yang
Dahulu kau warisi
Dari yang telah
Mendahului
Dan
Sekarang
Kau menuruti
Kamilah yang akan
Menerusi
Lestari perjuangan ini.

Walau kami
Cukup tahu
Lelah pendahulu
Membuka laluan
Perjuangan
Untuk kami kini
Merintasinya
Semoga senantiasa
Diingatkan
Tentang payahnya
Tentang jerihnya
Takkan disiakan.

Rehatlah,
Walau kini
Kami telah
Mula rindu
Saat manis
Bersama mengikuti
Pimpinan perjuanganmu
Dahulu.

Rehatlah,
Ayahandaku
Semoga rohmu
Dicucuri rahmat
Semoga legasimu
Kekal menjadi
Pedoman
Hari-hari kehadapan.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
26 September 2013

Khamis, 26 September 2013

Resah Itu

Malam rahmat
Yang mulanya tak
Terduga
Yang akhirnya
Diduga.

Dengan segala
Yang telah
Disediakan
Pun tak termampu
Untuk menyediakan.

Tetapi,
Resah itu
Berbalas nikmat
Syukur
Tak terkira,
Banyaknya
Hingga mengalir
Tangis syukur
Tika di penghujung
Masa.

Hospital Kajang
22 September 2013

Selasa, 24 September 2013

Selamat Bersidang


Gegak gempita
Dari penggal yang
Berlalu
Akhirnya bermula
Kembali
Selepas banyak
Kalinya diselang seli
Dengan sahutan
Perpaduan
Dengan jeritan
Penyatuan
Dengan ketakutan
Digulingkan.

Dan ia
Bermula kembali
Dengan tenaga
Yang mula
Dipacu ghairah
(Harap tak kecundang di pertengahan)
Berbagai lakonan
Dikemukan
Untuk merebut
Muka siapa
Yang sewajar
Dicelorengkan.

Dan nanti
Pabila selesai
Usai dengan
Gemilangnya
(Mungkin)
Masih adakah lagi
Tangis lakonan
Penyatuan sampingan
Gejolak tawa kemudian?
Kita lihat sahaja
Keputusan
Yang mulanya dicadang
Untuk ditentang
Namun takut dengan
Hantu bayangan
Hingga menarik
Segala yang ingin
Dicadangkan.

Tetapi,
Lucunya
Di permulaan
Persidangan
Sudah pun
Ditertawakan
Dengan lidah
Ahli persuratan
Persatuannya
Tentang kekuatan
Tentang kestabilan
Tentang kepentingan
Bangsanya
Sedang ia
Berbahasa dengan
Bahasa bukan
Bangsanya
Bagaimana mungkin
Ingin difahami
Bangsanya
Yang konon
Diperjuangkan
Tentang
Perjuangannya?
Kekuatannya?
Kestabilannya?
Kepentingannya?
Kita tontonkan
Sahaja hingga ke
Pengakhiran
Lawak jenaka
Persatuan
Yang kini
Bagai
Gila meroyan
Sejenaknya di sini
Sekejapnya di sana.

Selamat bersidang
Untuk ke
Sekelian kalinya.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
22 September 2013

Sabtu, 21 September 2013

Mana Mungkin, Aku Hanya Manusia.


Air mata ini
Telah lama
Kering
Sebelum takdir
Menghentam jiwa
Yang tanpa ragu
Membinasa
Istana yang dibina
Dari kepal
Angan-angan
Mimpi yang diidam.

Mana mungkin,
Aku hanya
Manusia. 

Kayuhan
Yang makin perlahan
Hanya
Sayup memandang
Musnah tak
Mampu untuk
Terhalang
Pedihnya
Walau terasa
Bagai mahu mencabar
Segala wibawa
Namun,
Apakah ada
Segala upaya
Melukut hanya
Tinggalan zaman.

Mana mungkin,
Aku hanya
Manusia. 

Mana mungkin
Tangan kecil ini
Mampu merubah
Segala macam
Cubaan demi cubaan
Yang tak tertahan
Menggagal angan
Kaki yang rapuh
Mudah amat runtuh
Walau dipasak utuh
Sekira yang menimpa
Bertalu tak mau
Meninggal jejak
Nafas walau sehela.

Mana mungkin,
Aku hanya
Manusia.

Hanya mampu
Mengharapkan
Ribut gelora ini
Reda sebentar
Untuk memberi
Ruang
Nafas dikumpul
Tenaga disimpul
Meneruskan
Hidup yang
Terkadang bosan
Dilalui.

Mana mungkin,
Aku hanya
Manusia.

Kampung Melayu Subang
21 September 2013


Khamis, 19 September 2013

Tercapaikah?


Rintih hati ini
Sentiasa
Tentang malang
Tentang walang
Bertimpa
Tak disangka
Setelah acap kali
Lelah dalam saing
Yang tak kunjung
Tamat
Gelut yang masih
Mendenyut
Dalam detak nafas
Yang terasa
Ingin sahaja
Dihentikan
Sebelum sampai
Ketika.

Lemas dalam
Sengketa
Yang mencengkam
Jiwa
Baring rehat
Yang terbuka minda
Mencari-cari
Langkah Uskup
Yang sumbang
Lompat Satria
Yang pincang
Yang di sisinya
Longlai semua
Bidak tak berguna
Membiar Ratu
Menghunus
Menumpas durjana.

Sedih yg menghiba
Gagal yg menggila
Dan kini
Segala sesal
Yang bertakung lama
Bagaimana
Ingin dilepas
Untuk
Hidup yang bebas?

Aku hanya ingin
Sebentar jua
Untuk menghela nafas
Sedalam-dalamnya
Setenang
Mungkin
Dalam kocak hidup
Yang penuh gelora
Yang tak pernah surut jua.

Tercapaikah?

Kampung Melayu Subang
19 September 2013


Gembira Yang Disangka


Gembira yang disangka
Jangan sekali
Dibiar
Melalai
Hingga
Duka datang menjengah
Takut nanti
Tak mahu
Terima suratan
Yang tersirat.

Tempayan pengalaman
Usah ditutup
Rapat
Hingga tak mahu
Mejangkau jauh
Ke pelusuk
Kehidupan
Kerana
Suka berganti duka
Itulah yang
Menguat
Segala
Langkah
Jika ingin
Terus bergelar
Manusia.

Gembira yang disangka
Menyusul juga duka
Yang tak terjangka
Kerana
Itulah akan
Memberi makna
Segalanya.

Kampung Melayu Subang
18 September 2013


Isnin, 16 September 2013

Jangan Salah Fikiran


Prakata dari
Penutup bicara
Tentang kemenangan
Menggantikan
Yang lama
Berkuasa
Dari ceroboh
Yang merobohkan
Ke tangan
Pengukir
Yang mengukirkan
Tentang mimpi
Masa hadapan.

Walau hebat ditentang
Hendak diganyang
Hendak diperang
Soalnya tak mahu
Mengerti
Di mana hendak
Dicari
Makna hakiki
Meja runding
Hanya untuk
Bicara petang
Kononnya
Tentang ekonomi
Kononnya
Tentang ideologi.

Memang,
Dangkalnya
Episod baru dalam
Penyatuan
Kerana
Telah ulung sedunia
Tentang
Siapa yang merampas
Tak ingin disabotaj
Biar sehingga
Hujung nafas
Tetap akan terus memulas
Sehingga puas
Benaknya hanya untuk
Terus merampas.

Kerana itu
Tergesa-gesa
Menamatkan
Dari penyudah akan
Ditamatkan
Asak kiri dan kanan
Tuntutan demi tuntutan
Asal ada yang sudi
Menjadi balaci
Untuk membongkar
Hasil bumi
Sepuas hati
Tanpa selindung diri
Sehingga tamat kisah ini!

Jangan salah
Fikiran
Tentang bicara ini
Tak salah
Untuk memikirkan
Duduk letak
Kisah penipuan
Lampau
Untuk diselongkar
Makna sebenar
Penyatuan
Agar
Yang terus mendatang
Tak terlupa
Kisah sebenar
Dari
Gegak gempita
Penipuan yang hasil
Kononya kebenaran.

Ya,
Fikirkan
Informasi
Yang diwujudkan
Ditafsirkan
Mengikut acuan
Jangan kita
Terus dimandulkan
Tanpa ingin banyak soal
Menurut sahaja
Hingga duduk letak
Maruah
Dipersendakan
Walau tanah ini
Telah tumpahnya darah mu
Jangan dilupa
Tanah ini juga
Dibasah
Dengan darah panas
Moyangmu
Yang tak didendang
Kisah juangnya
Yang tak dihirau
Pahit maung
Kehidupanya!

Kampung Melayu Subang
16 September 2013
( Selamat Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Malaysia)



Mencari Damai


Apa yang kau cari
Selama ini?
Bertemukah?
Bermaknakah?
Atau
Kau siakan sahaja?
Liku-liku hidup
Yang sentiasa
Mendewasakan.

Hidup tak sentiasa
Indah
Realitinya perit
Siapa sahaja
Pernah mengalaminya
Hanya perlu
Bangkit.

Dari permusuhan
Lewat dekad
Yang telah berlalu
Mengapa
Tiada yang bersuara?
Melihat
Tak cuba merubahnya
Mendengar
Tak cuba memperbetulkannya
Kita
Terlalu lalai
Dengan mainan
Kuasa dunia
Hingga
Tertanggal
Segala rasa
Seperti manusia.

Telah dikhabar
Sekurun yang lalu
Namun
Pesan keramat
Disiakan
Hanya menurut
Kata-kata nafsu
Duduk yang tak lagi
Sama rendah
Berdiri yang tak lagi
Sama tinggi
Sedang kita sentiasa
Dimuliakan oleh hakiki
Mengapa kita buang
Jauh
Harga diri?

Mencari damai
Di celahan kaca
Kehiruk pikukan
Kegilaan
Manusia
Bertemukah?
Ditemukah?
Atau kelak
Matinya buntang mata
Kempunan
Melihat
Tonggak dunia
Dicabul
Tangan-tangan
Si penggila!

Kampung Melayu Subang
16 September 2013


Sabtu, 14 September 2013

Ini Surat Untuk Mu Abah


Ini surat untukmu
Abah
Walau aku bukan
Anakmu
Mahupun
Adikmu
Mahupun
Sahabatmu
Demi
Keadilan telah
Lama mati
Di sini
Tak perlu
Dicari
Walau peritnya
Ditanggung
Tak perlu
Dipikul
Sesia sahaja
Walau jerit lolong
Menyambar
Ke telinga penguasa
Apakan daya
Hati mereka telah lama
Mati.
 
Titis air mata
Isterimu
Keluh kesah
Anakmu
Biarlah berlalu.
 
Ini surat untukmu
Abah
Kami akan tegap di sini
Menanti
Jangan difikir
Kami membatu
Tanpa membantu.
 
Kobar semangatmu
Tidakkan dibiar malap
Biarlah rintih
2 Tahun menunggu
Jangan terus kaku
Seperti
Kami
Tetap usaha
Selagi termampu!
 
Kampung Melayu Subang
14 September 2013


Jumaat, 13 September 2013

Nah, Inikah Yang Kau Mahukan?!

Sesudah kau
Tambat
Harga diri
Jauh dari
Akal,
Sekarang
Kau meragu
Segala
Tindak
Untuk kau
Halakan pula
Beban sesal
Untuk yang
Tiada kaitan.

Mengapa?
Telah dipesan
Seawal musim
Tika kau baharu
Mengenal
Apa itu hancing
Jangan perlaku
Membuat pening
Yang menggoncang
Nanti
Bukan nikmat paling
Diingin
Tapi musibah paling
Terkesamping.

Nah!
Inikah yang kau mahu
Tika pohon soal
Makin merendang
  Dahannya kau pangkas
Akarnya kau tindas?
Sesudah kau
Lemas
Jauh ke laut sesal?

Kampung Melayu Subang
13 september 2013


Khamis, 12 September 2013

Kegemaran : Enrique Mengundang Jauh





Tajuk : Enrique Mengundang Jauh

Penulis : H.M Tuah Iskandar

 Pada ketika aku terlalu asyik dengan karya-kaya pemenang anugerah Pak Sako terjumpa dengan karya ini. Entah mengapa mudah amat aku jatuh cinta dengan penceritaan kisah di dalam novel ini. Kisah anak muda mencari makna jati diri. Kisah ekspidisi mencari hakiki. Kaya ilmu dan setiap denyut suka dan duka watak terkesan sehingga kini.

 "JAUH. Mulanya dekat. Dan jarak hanyalah mandala relatif, justeru erti dekat selalu memaknakan jauh, sementelahan makna jauh membandingkan erti dekat. Dan perjalanan menjelajah bumi atma, dibawa
sejauh mana pun ke seantero dunia, tetap kembali. Ke titik paling dekat. Diri."

Enrique – Mengundang Jauh
- cerita tentang orang berpergian jauh
- cerita tentang gelora akibat jauh
- cerita tentang kekebatan bangsa yang dibenam jauh

Enrique – Mengundang Jauh ekspedisi keliling dunia mengabsahkan sejarah:
Bahawa manusia Melayu Panglima Awang @ Ariberto @ Enrique manusia pertama membukti kan bulatnya bumi.


Tangis Seorang Suami


Pada ketika
Dingin menyelaputi
Mengerat mimpi
Warga bakti
Tatkala itu
Langkahan kaki
Deras dialir
Untuk menagih rezki
Agar bersimpati
Dengan usahanya
Sehari ke sehari
Kudrat dibanting
Keseluruhnya
Tanda tak mahu alah
Dengan makna hidup yang
Menuntut
 Perahan peluh
Hingga ke penghujung senja.
 
Dia
Suami
Punya isteri
Bakal punya penyeri.
 
Walau tahu
Hidupnya makin sempit,
Walau tahu
Hidupnya makin perit,
Tak merelakan
Merempat
Untuk sesuap
Habuan
Padanya rela
Berputus segala
Asal mendapat
Sekepal nikmat
Dikongsi bertiga.
 
Ya,
Hidupnya melarat,
Seorang suami,
Yang punya isteri
Yang bakal menyambut penyeri.
 
Cabar hidup
Yang makin parah
Sentiasa dipermainkan
Tentang janji
Yang tak sudah
Dimungkiri
Perut sendiri kosong
Demi menjaga
Perut gendut
Yang menghisap
Tak berperi.
 
Dan akhirnya
Pabila segala usaha
Makin malap rasanya
Pahit yang ditelan
Tak tahu
Bagaimana meneruskan
Termenung
Bagaimana nanti
Akan dilalui
Hari-hari.
 
Tangis seorang suami
Dalam diam
Dalam hati
Walau payahnya amat
Tetap diteruskan
Demi
Dirinya
Bergelar suami
Untuk isteri
Dan bakal penyeri
Walau pasti
Takdir dan rezki
Tidak selalu
Menyebelahi
Diteruskan juga 
Langkahan kaki
Meniti hari-hari
Menebus janji.
 
Kampung Melayu Subang
12 September 2013
 
 

Rabu, 11 September 2013

Bukan Sekadar Dilema Melayu



Dilema aku
Dilema kamu
Bukan sekadar
Dilema melayu.

Berasak di setiap
Lorong soal
Tercampak ke
Ceruk sesal
Tiap apa yang
Dilaku
Geraknya cukup kaku
Sumbangnya malu
Mahu dipimpin
Untuk berlari
Sedar tidak berkaki.

Dilema aku
Dilema kamu
Bukan sekadar
Dilema melayu.

Berceratuk
Di lembah itu
Bernafas
Di udara lembap
Berkurun sudah
Masih keras
Tak mahu sedar
Melukutnya di tepian
Tanah yang diwariskan
Orang lain
Mengendung untungnya.

Dilema aku
Dilema kamu
Bukan sekadar
Dilema melayu.

Cukuplah
Dibelenggu
Kedunguan yang
Perlu dipertemu
Kebijaksanaan
Yang pasti
Bukan ingin mengajar
Untuk babi buta melawan
Tetapi ingin mendidik
Mana bayang
Yang perlu disondolkan
Hingga mati tak bernesan!

Dilema aku
Dilema kamu
Bukan sekadar
Dilema melayu.

Sedang bergelut
Ditubiran jahanam
Masih diam
Bungkam
Merelakan Si penjahanam
Menghumban ke dalam
Bodohnya dalam diam
Payah amat dipadam.

Ya,
Ini bukan dilema aku
Ini bukan dilema kamu
Ini bukan sekadar
Dilema melayu.

Kampung Melayu Subang
11 September 2013

Selasa, 10 September 2013

Penantian


Menanti penuh
Harapan
Bukan buatan
Penaut kasih
Kita berdua
Mengeratkan
Walau kita
Sentiasa
Berjauhan
Tak menghalang
Dari kita terus
Berkasih sayang
Buktinya?
Penantian
Selama ini
Akan berakhir
Bila mana
Semua telah bersedia.

Kampung Melayu Subang
10 September 2013

Isnin, 9 September 2013

Henti


Lelah yang berpanjang ini
Bagai tak akan berhenti
Memberitahu diri
Agar lekas berhenti
Usah diteruskan lagi
Janji yang pasti
Walau cuba dihenti
Takkan mampu dihindari
Hingga sampai ke mati.

Kampung Melayu Subang
09 September 2013

Ahad, 8 September 2013

Hanya 5 Rangkap


Hanya 5 Rangkap
Untuk pasang perangkap
Dalam semak jerangkap
Untuk sesal sekejap
Tanda hati malap!

Hanya 5 Rangkap
Menunda hati malap
Dengan pelbagai julap
Tak tertanggung sekejap
Punah terus disonglap!

Hanya 5 Rangkap
Rompak terus disonglap
Hanya dalam gelap
Tak tertahan sekejap
Malapetaka dari sedap!

Hanya 5 Rangkap
Untuk hasil sesedap
Merangkak susuk serap
Tak tertahan sekejap
Merempuh sekeras sekerap!

Hanya 5 Rangkap
Halang kerasnya sekerap
Malu untuk tegap
Tak tertahan sekejap
Bermula pasang perangkap!

Kampung Melayu Subang
07 September 2013

Sabtu, 7 September 2013

Anak Ku Yang Pertama


Dalam debar yang kencang
Sedari bulan pertama
Hingga kini
Menanti hari-hari
Untuk melunas rindu
Yang semakin sayu
Tak tertahan
Menatap wajah
Waris ku.

Dari detik pertama
Mendapat khabaran
Merestu cinta kami
Rezki yang tak dijangka
Mendakap erat
Kami sekeluaga
Hingga ke tendangan pertama
Membuat debar
Yang tak tergambarkan
Hanya linangan air mata
Walau cuba disebak
Untuk tidak kelihatan
Namun,
Khabar gembira ini
Terlalu mengujakan
Terima kasih tuhan.

Walau
Ada ketika
Ribut melanda
Berpinar mata
Menanti dalam debar
Agar tak mengapa.

Tangis
Di bulan-bulan
Yang mengejang
Mendapat tanda
Menggegar jiwa
Namun kuatnya
Masih utuh bersama.

Dan kini,
Anak ku yang pertama
Ibu dan ayah mu
Menanti
Hari berjumpa
Semoga sihat sentiasa
Kasih yang tertumpah
Kering tiada.

Kampung Melayu Subang
06 September 2013


Jumaat, 6 September 2013

Tentang


Pabila malam bertemu
Perit dihurung sendu
Terjerumus soalan beribu
Tentang arah takdir ku
Tentang makna hidup ku.

Berpaling dari arah
Yang tak mungkin dapat dipatah
Sayupnya jauh meredah
Tentang pasrah
Tentang payah.
Aku masih berteleku
Menanti sampai waktu
Untuk dipertemu
Takdir yang sendu
Tangis yang sayu
Tentang hidup malu
Tentang mati kaku.

Kampung Melayu Subang
06 September 2013

Khamis, 5 September 2013

Mengenang Adinda


Dalam rindu
Yang lama kekanda
Pendam
Tika saat
Untuk meleraikannya
Adinda
Ke mana?
Denyut rindu ini
Bagai ingin
Meletus
Ke serata benua
Mengkhabarkan
Betapa kekanda
Amat rindukan adinda.

Adinda
Kekanda selalu
Terkenangkan adinda
Kerap
Tak terkata.
Bila kita akan bersua?
Rindu ini tak tertahan lagi
Untuk mengadu nasib
Untuk didodoi sendu
Agar terus
Kita berlari
Mengejar mimpi.

Adinda,
Walau kita berjauhan
Hati kita tetap bersatu
Sentiasa
Dan
Puisi ini menjadi saksi
Betapa kanda
Terlalu mengenang
Dinda
Tika ribut rindu
Ini terus membadai
Menanti tiba masa
Untuk kekanda pulang
Bertemu adinda.

Kanda amat
Rindu pada dinda.

Kampung Melayu Subang
03 September 2013

Isnin, 2 September 2013

Naik Lagi??



Naik lagi?
Itulah janji
Yang telah dimungkiri
Seringkali
Sehingga telah lali
Dengan setiap janji
Untuk ke sekelian kali.

Naik lagi?
Usah terus suara meninggi
Telah dijangka setiap kali
Sedarlah kita sendiri
Yang tak mahu insafi diri
Mudah ditipu si pemberani
Yang menyembelihmu setiap kali.

Naik lagi?
Ini bukan kisah suami isteri
Memang kurang enak didengari
Tapi,
Inilah hakiki
Yang di atas terus meninggi
Yang di bawah terus di kaki
Hingga jumpa lagi
Ke janji-janji
Yang akan dimungkiri
Bahananya lain kali
Siapa sekarang menggigit jari?

Ketawalah kami
Yang telah berulang kali
Mengulangi
Untuk tidak ditipu lagi
Kau jua tak sedari
Hingga ke hari ini.

Kampung Melayu Subang
02 September 2013



Salahkah Aku Pada-Mu Tuhan?



Salahkah aku
Pada-Mu
Tuhan?

Kau himpitku
Kiri dan kanan
Selumatnya
Ke penghujung sesal
Kau campakkan aku
Menanggal kuping-kuping
Bahagia yang Kau
Tusukkan dengan
Racun paling berbisa
Apa lagi yang tertinggal
Untuk aku tangiskan?

Mengapa aku seorang
Yang Kau dendamkan?
Segala yang dipinjam
Mengapa
Kau tuntut dipulangkan?
Segala yang tenang
Mengapa
Kau hantar kekalutan?

Selemah iman
Tetap aku lakukan
Sujud yang berpanjangan
Tangis tak kesudahan
Tetapi gelap jalan
Yang kau sediakan
Mana mungkin mampu
Aku terus berjalan
Sedang yang lain
Sedetik mengingat Mu
Tidak
Tapi mencurah segala
Kau anugerahkan.

Salahkah aku
Pada Mu
Tuhan?

Walau aku cukup tahu
Segala yang berlaku
Punya sebab
Aku terlalu rindu
Mendakap kasih Mu Tuhan.

Tetapi
Bagai Kau telah
Melupakan
Abdi Mu ini
Sentiasa
Memohon penunjuk jalan
Sentiasa
Dikejar penyesalan.

Aku pohon pada Mu
Tuhan
Agar tegapkan aku
Menempuh ujian
Yang telah Kau sediakan.

Kampung Melayu Subang
02 September 2013


Ahad, 1 September 2013

Tak Mengapa Bapak


(Didedikasikan kepada Pak Samad yang tak luntur semangat)

Tak mengapa bapak
Walau juang lelahmu
Sekarang dihina,
Digelar pelbagai
Gelar nista
Oleh cicit 
Keturunanmu sendiri
Yang buta tentang
Apa maksud
Apa untung
Perjuanganmu
Maafkan saja mereka
Usah terasa di hati
Mereka masih belum
Celik informasi
(atau telah diupahi)
(atau sudah dikembiri).

Tak mengapa bapak
Hati tuamu
Yang terkadang
Tersentuh syahdu
Dengan gelagat
Bodoh di hadapanmu
Pejamkan saja matamu
Usah menoleh
Gerak tari sumbang
Si pelaku
Yang khayal
Kerna dicandu
(yang hilang rasa malu)
(yang hidupnya penuh jemu).



Tak mengapa bapak
Walau dinistakan
Perjuanganmu
Diperkatik
Mahakaryamu
Dipersoal
Getar bahasamu
Ditertawa
Rencah penampilanmu
Kami tetap tahu
Kau tetap
Gedung ilmu
Sentiasa mencurah ilmu
Dalam lewat puisimu
Walau mereka termanggu
Dengan dialek bakumu itu.

Simpankan sahaja
Dendammu bapak
Kerna
Telah terserlah
Kebodohan mereka
Membontoti
Si muka pintu
Yang curang
Menjaga
Keramat bangsanya
Yang terjerit
Dibinasakan
Si hantu
Hingga tak mengenal
Asal usul perjuangan
Mereka yang lebih mendahulu.

Biarkan mereka bangga
Dengan semangat
Juang mereka
Yang bernaung dari
Si Penguasa bangsa
Hingga menggadai
Budi adab dan bahasa
Kerna
Telah lama
Mereka menggadaikan
Nadi bangsanya!

Kampung Melayu Subang
01 Sept 2013


Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis