Nuffnang

Penaja

Jumaat, 28 Februari 2014

Terlepas

Gambar Hiasan
 
Sedari permulaan
Hela nafas pertama
Kita masing-masing
Di balik kerongkongan
Yang kontang
Tanpa getar suara
Tunduk patuh
Tak berdaya
Tak upaya
Melawan sengketa
Demi selamat
Sepanjang masa
Tanpa keluh upaya.

Dan sesudah
Dibebas dari bekas
Yang merimas
Terbuka mata
Bergetar suara
Menghayun segala
Untuk memula sengketa
Yang konon dielak
Semahu jiwa.
 
Mengapa?
Tatkala
Nyawa benar di hujung
Talinya
Kita masing-masing
Memohon agar dilepas segera
Melumatkan ego dan tinggi daya
Demi sejenak jua terlepas seksa?
 
Sedangkan diketahui
Hutang yang ditinggal
Dibayar perlu segera
Inikan pula berpajak
Nyawa berdarah sukma?
 
Memang kita ini
Manusia
Walau janjinya terkejap erat
Diikat serapat selamanya
Dicari jua
Ruang dan peluang
Melolos mungkir
Demi untuk apa
Langsung tak bermakna.
 
 Walau terlepasnya
Sebentar jua
Tak mengapa
Kerana
Ketika dihadap
Berbaris juri seadilnya
Akan dilepas bebas jua!
 
Tasik Damai
Sungai Besi
28 Februari 2014
 

 

Rabu, 26 Februari 2014

Jalan Mati

Gambar Hiasan

Mencari jalan mati
Yang kau sangka
Tiada lagi harapan
Tiada lagi persimpangan
Dalam mencari tiap-tiap
Ikhtiar yang habis kau tawarkan
Sepanjang kehidupan
Yang selama ini kau
Ragukan penyudahnya.

Mencari jalan mati
Di penghujung
Perbuatan keanak-anakan
Demi sisa hidup
Yang semakin hari
Semakin tanggal
Wajah warasnya.
Sedari mula kegagalan
Mula menghampiri
Sehingga kini
Masih lagi tak dipeduli
Langkah tari
Terkehel hari lalu
Tak diperbetulkan hingga kini.

Sesudah nanti
Di penghujung
Jalan mati ini
Sama bergantung leher
Bersama si pemutus asa
Seawal azali
Jangan di tanya kenapa
Kami di sini
Usah dihirau mengapa
Kami memilih jalan ini
Tak perlu diketahui apa
Kelak nasib kami!

Tasik Damai
Sungai Besi
25 Februari 2014

 

Ahad, 23 Februari 2014

Sama


Sama bersepatu,
Walau datangnya lain pintu,
Goncangnya memilu,
Ke hadapan tunduk malu,
Bukannya tidak tahu
Segalanya mainan nafsu
Diturut jua kerana mahu!



Sama bersetuju
Walau datangnya lain ibu
Pekik lolong semahu
Baik buruk melaku
Bukannya tidak tahu
Pembohongannya mainan ilmu
Dipatuh jua kerana mahu!

Sama berkelaku
Datangnya sama perlu
Merosak bukan melulu
Sedikit masa yang diperlu
Seputar kisah sejak dahulu
Diikutkan jua kerana berguru lembu!

Kau dan aku
Yang mana satu
- Merebut miliki sepatu
- Melari melepasi pintu
- Menjunjung onar ke ibu
- Menimba sedikit penyulap ilmu
- Mendatang segala yang perlu
- Menawar sakit si pendeta lembu
Untuk bertanyakan sesuatu
Adakah perlu
Kau dan Aku
Untuk kembali berseteru?

Adakah kau adalah aku?!

Yang mana satu?
Yang mana mahu!

Tasik Damai
Sungai Besi
23 Februari 2014



Khamis, 20 Februari 2014

Luka Yang Sedekad Berdarah

 Prihatinkah Kita?


Di dekad baharu ini,
Kita masing-masing
Masih
Berlainan mimpi seketiduran,
Bangun ke arah selisihan,
Bicara langsung tak seingatan.

Di dekad baharu ini,
Walau bibit-bibit
Ingin bangkit
Menyekak rapat kefahaman
Mematikan langkah
Untuk telingkah
Namun
Masih juga tak mampu
Disembunyikan
Retak-retak lama
Rompong-rompong dahulunya
Yang comot bertampalan
Yang sonsang berbetulan
Kekal merekah
Reput terus menyambung rosak
Tak dapat di tempelkan lekat
Dengan janji-janji berahi
Tentang kesefahaman.
 Inikan pula ingin bersama
Menyinsing lengan
Meramas sama
Menyeluk alang
Ke dasar permasalahan sejagat
Sedang ragu dalam diri
Tentang sendiri
Masih berceranggah
Membantai remuk
Kepercayaan
Dan
Kepura-puraan kepercayaan.

Di dekad baharu ini,
Luka dekad lalu
Masih tiada siapa
Yang ingin mengubati
Dibiar mengalir
Satu demi satu
Mangkuk yang terisi
Darah yang tak sempat beku
Tak berganti
Melimpah mencari
Saki baki isi biar kontang
Kerna
Tiada siapa menghirau.

Luka lalu
Yang telah sedekad lamanya
Tak terucap
Pedih parahnya
Masih lagi menanti
Adiwira
Seikhlas rasa
Tertanggung di jiwa
Yang ingin benar merasa
Kesaktian
Cinta
Bukan pada hakikat
Terselindung
Makna tersirat
Beribu tahun lama dijanjikan
Kalam tuhan termateri.

Luka ini
Bertitis darahnya
Yang tak akan beku
Selamanya
Masih lagi mengalir
Walau silih bergilir
Untuk terus merasa
Degupan
Kita yang saling
Tak malu mengaku
Sama.

Untuk penyudahan kisah
Sedekad lalu
Yang tragis
Mendatang dekad baharu
Yang tak pasti bertangis
Kita,
Yang masing-masing
Yang masih
-Berlainan mimpi seketiduran,
-Bangun ke arah selisihan,
-Bicara langsung tak seingatan,
Adakah akan
Terus membiarkan?

 Tasik Damai
Sungai Besi
18-19 Februari 2014



Rabu, 19 Februari 2014

Aku Rindukan...

Gambar Hiasan

Lemas kini
Dari pusar bahana
Bilasan bahasa
Diperosak semahunya
Waris dari akar
Yang sama tak berjejak
Cengkamnya ke kedalaman
Tak tahan menyusur
Ke perdu benih
Perosak dari dalam.

Rimas kini
Dari dampar gelombang
Menggulung kasar
Dihempas semahunya
Susur galur dari bedung
Yang serupa tak berbekas
Tujuannya ke benak
Tak tertanggung
Ke kepala pemulanya
Merosak dari semua.

Aku rindukan
Damainya sepoi menyapa
Kasarnya mengajar kasih
Terarah.
Aku kepinginkan
Dalam arus yang terus
Laju mengalir ini
Tercampak dihalau keluar
Kumbah disaring
Untuk membenam sama
Sampah yang menyesak
Seksa menyamak
Hilang terus dari
Menyemak
Makna kata-kata
Yang tiada nilai
Di pusaka bahasa!

Kampung Melayu Subang
Shah Alam
19 Februari 2014

Selasa, 4 Februari 2014

Tentang Kau Dan Aku


Bukan kerana
Tingginya menjulang
Rendahnya menjunam
Tengahnya melandai.

Soalnya....
Bagaimana
Ianya terhadam
Dalam melumat
Tiap nahu yang ingin dijawab
Ke mana
Ianya tercerna
Dalam membajai
Tiap soal yang ingin
Bercambah
Membuah
Setiap solusi
Penghalangan dari
Terusan yang meributkan.

Dan ini jawabnya
Kepada penyoal
Yang meragukan
Setiap apa yang telah
Dan akan dibicarakan ;
- Carilah sendiri atap
Persinggahan meredah hidup ini
- Carilah sendiri tanih
Pemugalan menyemai pengalaman ini
Dan,
- Carilah sendiri makna
Menikmati kelansungan persoalan
Kesialan sia-sia ini.

Tentang kau
Yang masih dipagari
Dinding sempadan
Pemisahan
Di antara peradaban
Yang konon hak kau
Seorang selamanya
Tentang aku
Yang masih di
Lapangan lenggang
Memisahkan
Di antara kebebasan
Yang dituntut hak aku
Seorang selamanya.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
03 Februari 2014


Segmen Jom Beramah Mesra

KLIK BANNER UNTUK JOIN

Salam 1 Malaysia. Segmen terbaru kini dilancarkan! Tujuan segmen ini diadakan untuk beramah mesra sesama blogger. Yang tak kenal, kini boleh berkenal-kenalan. Menambah rakan maya. Yang bestnya segmen ini menyediakan hadiah menarik buat pemenang bertuah!

HADIAH:
Tafsir pimpinan Ar Rahman kepada pengertian Al Quran
Jam tangan 2x
Dress
Fridge magnet 2x

Segmen Jom Beramah Mesra dianjurkan oleh Yumida dan ditaja bersama blogger Mselim, Tri Globe Dynasty, Bifa’s Vendor & Pena Bulu Ayam.

TAMAT: 21 FEBRUARI 2014 – Jam 11.59 malam

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis