Nuffnang

Penaja

Khamis, 4 Jun 2015

Makna Berjaya

Jika kau tanya pada aku
Apa sebenarnya makna jaya
Tiada lain jawapanku
Rasalah apa itu putus asa
Kelak kau akan tahu
Makna sebenarnya
Berjaya.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang

04 Jun 2015


Rabu, 3 Jun 2015

Dendam

Kalau kau tanya aku
Tentang dendam hatiku sekarang
Akan ku jawab kemudian
Untuk melunaskannya
Ke penjuru kekosongan
Agar kau tahu
Yang hati ini telah berkecai?
Tidak!
 
Aku nantikan saat ketika
Giliran kau bertakhta pula
Di puncak kekosongan ini
Tercampak dalam kekuasaan
Yang kau sendiri pernah
Anugerahkan kepada aku
Dan adakah ketika giliran itu
Akan membuatkan dendam
Pusaka kekosongan itu
Akan kau lunaskan
Atau
Dipendam sahaja.
 
Kampung Sungai Sekamat
Kajang
 
03 Jun 2015
 
 

Korban

Tersirat yang dikorbankan
Menuju tersurat
Apa yang mengorbankan
Menyimpul mati
Hakikat yang terkorban
Dan pengorbanan itu
Untuk dikorbankan
Demi mengorbankan
Rasa terkorban

Kampung Sungai Sekamat
Kajang

02 Jun 2015


Selasa, 2 Jun 2015

Jalan Hidup Ini

Jalan penghidupan kita
Yang damai tenteram ini
Direntang oleh darah
Dilebar oleh derita
Diturap air mata
Dan kita gagah bangga
Menyombong
Meninggi diri pula
Ketika ramai yang jerumus
Ke kancah hina
Tak membantu
Hatta
Memandang jelik rasa

Kampung Sungai Sekamat
Kajang

01 Jun 2015


Isnin, 1 Jun 2015

Menara Jaya

Membina menara jaya
Dengan batu batan usaha
Bertahun diusahakan
Payah amat dilakukan,
Meruntuhkannya
Dengan jari putus asa
Sedetik cuma
Ringan amat dijayakan
Mana mercu tenaga yang diimpikan?

Dan jangan kau tanya aku
Ke mana arah sesudah
Kau memilih antara keduanya
Kerana
Laluan sukar antara keduannya
Kau akan lalui
Aku juga sedang melaluluinya
Menuju menara jaya.
 
01 Jun 2015


Sajak Me(Layu)

Kenalkah kau dengan
Bangsa Melayu?
Layu yang bukan sebarangan
Pantang dilawan
Tekad bersatu
Biar digigit patah
Hingga ke tulang bongsu
Tak ditunjuk rasa
Ingin meninju
Melainkan bertambah
Kasih syahdu
Kepada firaun yang baharu
Yang hanya bertopeng
Bangsa Melayu.
 
Percayakah dikau
Melayu itu taat?
Biarpun pada yang tersesat
Yang terbukti menyesatkan
Asalkan tak melanggar adat
Anak sendiri dibiar melarat
Dan yang berperangai semacam keparat
Hanya jadi-jadian bangsa keramat.
 
Melayu itu bangsa pemalu
Biar dipijak serupa batu
Hatinya tetap merunduk layu
Melirik senyum selalu
Bangsa yang mudah menjadi sekutu
Biarpun awalnya tak sekufu
Cuma masalahnya bangsa ini hanyalah satu,
Mudah amat dirayu
Ke lubang jahanam biar pun tahu.
 
Akhir kata tentang Melayu
 Lahirkanlah para pemikir
Biarpun beribu
Yang permatanya hanya satu
Itu pun perlu digilap selalu
Kerana mudah amat dihinggap debu
Yang lainnya hanya menjadi satu
Ketika menyembah kepincangan Melayu
Untuk selamat selesa ke anak cucu!
 
Kampung Sungai Sekamat
Kajang
 
04 Jun 2015
 
 

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis