Gambar Hiasan |
Rakyat berbilang
Di bawah melaut
Meneriak-riak
Dilumat hempap sepadatnya
Menghimpit terkepit
Penguasa rakus
Yang tak pernah surut
Walau memboyot saku
Walau membuncit perut
Menyita sewenang nafsunya
Tak kira warga mana
Semahu seperti telah
Sebati perangai puaka
Yang menggila!
Walau telah dimunculkan
Wajah-wajah
Amarah warga nusa
Menggertak dengan gerak rentak
Cuba membendung
Tangan-tangan pengkau penguasa
Yang merenyah sedekad lamanya
Membentak rasa yang terkurung
Beratus tahun lamanya
Warisan asuhan persetan
Yang datang menyesatkan.
Walau telah ditunjukkan
Suara-suara
Parau resah isi warga
Mengherdik hina dengan segala cacian
Cuba memberi amaran
Penyeluk-penyeluk saku rakyat
Yang diugut sedekad lamanya
Memprotes cara yang mengurung
Beratus tahun lamanya
Pusaka didikan penyangak
Yang datang memugalkan.
Entah mengapa
Tiada malukah
Tiada fahamkah
Dengan bicara
Dengan tingkah
Yang diperdengarkan
Yang dipertontonkan
Bagai berbicara bersama unggas
Bagai mengajar lagak manusia kepada kera
Atau setelah lamanya
Di puncak kuasa
Tidak lagi memahami
Pedih jerih
Rakyat yang dipijak
Tak diambil peduli
Susah payah terbanyak melata.
Atau mungkin
Setelah segala yang ditunjukkan
Rakyat terbanyak
Setelah segala yang dibicarakan
Rakyat marhaen
Tak didengar
Tak difaham
Telah sampai masa
Berbicara dengan bicara kera
Mengatakan dengan bahasa monyet
Kerana lakunya penguasa
Yang langsung tak menunjukkan
Faham dan tahunya
Siapa penguasa
Siapa dikuasa
Siapa punya kuasa!
Tasik Damai
08 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan