Nuffnang

Penaja

Memaparkan catatan dengan label Bicara Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicara Politik. Papar semua catatan

Rabu, 3 Jun 2015

Dendam

Kalau kau tanya aku
Tentang dendam hatiku sekarang
Akan ku jawab kemudian
Untuk melunaskannya
Ke penjuru kekosongan
Agar kau tahu
Yang hati ini telah berkecai?
Tidak!
 
Aku nantikan saat ketika
Giliran kau bertakhta pula
Di puncak kekosongan ini
Tercampak dalam kekuasaan
Yang kau sendiri pernah
Anugerahkan kepada aku
Dan adakah ketika giliran itu
Akan membuatkan dendam
Pusaka kekosongan itu
Akan kau lunaskan
Atau
Dipendam sahaja.
 
Kampung Sungai Sekamat
Kajang
 
03 Jun 2015
 
 

Selasa, 2 Jun 2015

Jalan Hidup Ini

Jalan penghidupan kita
Yang damai tenteram ini
Direntang oleh darah
Dilebar oleh derita
Diturap air mata
Dan kita gagah bangga
Menyombong
Meninggi diri pula
Ketika ramai yang jerumus
Ke kancah hina
Tak membantu
Hatta
Memandang jelik rasa

Kampung Sungai Sekamat
Kajang

01 Jun 2015


Isnin, 1 Jun 2015

Sajak Me(Layu)

Kenalkah kau dengan
Bangsa Melayu?
Layu yang bukan sebarangan
Pantang dilawan
Tekad bersatu
Biar digigit patah
Hingga ke tulang bongsu
Tak ditunjuk rasa
Ingin meninju
Melainkan bertambah
Kasih syahdu
Kepada firaun yang baharu
Yang hanya bertopeng
Bangsa Melayu.
 
Percayakah dikau
Melayu itu taat?
Biarpun pada yang tersesat
Yang terbukti menyesatkan
Asalkan tak melanggar adat
Anak sendiri dibiar melarat
Dan yang berperangai semacam keparat
Hanya jadi-jadian bangsa keramat.
 
Melayu itu bangsa pemalu
Biar dipijak serupa batu
Hatinya tetap merunduk layu
Melirik senyum selalu
Bangsa yang mudah menjadi sekutu
Biarpun awalnya tak sekufu
Cuma masalahnya bangsa ini hanyalah satu,
Mudah amat dirayu
Ke lubang jahanam biar pun tahu.
 
Akhir kata tentang Melayu
 Lahirkanlah para pemikir
Biarpun beribu
Yang permatanya hanya satu
Itu pun perlu digilap selalu
Kerana mudah amat dihinggap debu
Yang lainnya hanya menjadi satu
Ketika menyembah kepincangan Melayu
Untuk selamat selesa ke anak cucu!
 
Kampung Sungai Sekamat
Kajang
 
04 Jun 2015
 
 

Isnin, 29 Disember 2014

Mari Beradu

Gambar Hiasan

Suara katak berpanggilan
Rintik hujan kemeriahan
Esak tangis kesedapan
Hilai tawa kemurungan
Kau panggil aku
Aku panggil kamu
Meronta dalam sekam yang sama
Gong yang ditala
Dengki masih bernyawa
Dendam terus dinyala
Sekelumit membara
Terbakar taman seluruhnya.


Tinggalkan satu peluru
Untuk kepala kamu
Untuk jantung aku
Usah lagi tunggu
Pentas tersedia untuk beradu.

Kau panggang aku
Aku bakar kamu
Suara katak masih menjengkelkan
Rintik hujan kelebatan
Esak tangis kesudahan
Murung tawa berhilaian
Henti meronta
Sekam yang ada muat hanya
Aku atau kamu
Dibakar atau terbakar oleh isterimu.


Kau pandang aku
Aku pandang kamu
Usah dikenang lalu
Kuncup daun semalu
Tak sehebat kering hatiku!

Ayuh jangan ditunggu
Mari beradu!


Kampung Sungai Sekamat
29 December 2014


Khamis, 12 Jun 2014

Sampai Bila?


Apabila membelit si kapitalis
Jerung ternganga menelan bilis
Menjahanamkan mimpi anak waris
Si tirani buncit tak kempis
Asalkan dapat wang dipilis
Melaut rakyat biarkan mengemis
Si anjing biar mengotor tangan menepis!

Bukan tak mahu maju mendatang
Kubur ayah bonda dibongkar senang
Sulur galur yang berdekad bertunjang
Hutang yang telah keliling pinggang
Tegak bangun mudahnya tumbang
Untuk apa di dalam kontang di luar buntang
Bukankah yang arif masih bersidang?

Inilah permainan yang menguasa
Hanya kita bodoh diperdaya
Mainan untuk memuas haloba
Yang di atas sibuk mengira-mengira
Yang di tengah tersengih mengada-ngada
Yang di kiri kanan berlagak menunjuk kuasa
Yang dibawah bila lagi mahu bangkit dari lena?
Dibiarkan si penyamun berkolar menyapu segala?
Hingga akar bangsa tersia-sia sahaja?

Si kapitalis dibangsat selamanya,
Si tirani dinobat selamanya,
Si anjing diselamat selamanya,
Kita dipelumat selamanya,
Sampai bila?

Tasik Damai
Sungai Besi
12 Jun 2014
 

Jumaat, 6 Jun 2014

Duit Dan Sakit

Gambar Hiasan

Bicara tentang duit dan sakit
Ya sedikit mengundang perit
Perit yang sedikit membusar sempit
Sempit menyantak ke ruang yang sedikit
Kerana duit terasa sakit
Yang tak mampu untuk dijerit.

Bicara tentang duit dan sakit
Ya banyak mengundang perit
Perit yang sedikit membusung lengit
Lengit mengheret ke ruang yang terjerit
Kerana duit merasa sakit
Yang tak mampu untuk dibangkit.

Bicara tentang duit dan sakit
Ya hingga kiamat menggigit
Peritnya walau dijerit
Payah untuk bangkit
Untuk dilangkaunya sedikit
Payah bicaranya walau mendecit.

Apa ditinggal untuk cucu cicit?
Hanyalah penyakit
Berpunca dari secubit
Duit!

Tasik Damai
Sungai Besi

06 Jun 2014

 

Selasa, 13 Mei 2014

Kisah Bergolak

 
Kisah bergolak
Yang ditampung-tampung
Akhirnya pecah tak tertanggung
Kisah yang sunyi sebelum
Ditempel onar
Kisah musuh
Kononnya bergolaknya sana
Tak goyah sedikit pun di sini.

Namun,
Walau cuba ditahani
Akhirnya
Mengalir jua
Air mata
Derai jua 
Hilai tawa
Menung jua
Wajah hamba.
 
Siapa yang menang
Belum tentu bergadai
Siapa yang kalah
Belum tentu bersorak.
 
Keruh yang cuba dijernihkan
Walau dihantar jeneral perang sekalipun
Belum tentu dingin kembali
Panas yang meruah.
 
Pengajaran untuk semua
Jangan sesekali
Bermain di ungun api
Entah padamnya api
Mati kesejukan
Entah menyambarnya api
Mati kepanasan.
 
Tasik Damai
Sungai Besi
 
13 Mei 2014
 
 

Khamis, 8 Mei 2014

Bahasa Monyet

Gambar Hiasan
 
Rakyat berbilang
Di bawah melaut
Meneriak-riak
Dilumat hempap sepadatnya
Menghimpit terkepit
Penguasa rakus
Yang tak pernah surut
Walau memboyot saku
Walau membuncit perut
Menyita sewenang nafsunya
Tak kira warga mana
Semahu seperti telah
Sebati perangai puaka
Yang menggila!

Walau telah dimunculkan
Wajah-wajah
Amarah warga nusa
Menggertak dengan gerak rentak
Cuba membendung
Tangan-tangan pengkau penguasa
Yang merenyah sedekad lamanya
Membentak rasa yang terkurung
Beratus tahun lamanya
Warisan asuhan persetan
Yang datang menyesatkan.
 
Walau telah ditunjukkan
Suara-suara
Parau resah isi warga
Mengherdik hina dengan segala cacian
Cuba memberi amaran
 Penyeluk-penyeluk saku rakyat
Yang diugut sedekad lamanya
Memprotes cara yang mengurung
Beratus tahun lamanya
Pusaka didikan penyangak
Yang datang memugalkan.

Entah mengapa
Tiada malukah
Tiada fahamkah
Dengan bicara
Dengan tingkah
Yang diperdengarkan
Yang dipertontonkan
Bagai berbicara bersama unggas
Bagai mengajar lagak manusia kepada kera
Atau setelah lamanya
Di puncak kuasa
Tidak lagi memahami
Pedih jerih
Rakyat yang dipijak
Tak diambil peduli
Susah payah terbanyak melata.
 
Atau mungkin
Setelah segala yang ditunjukkan
Rakyat terbanyak
Setelah segala yang dibicarakan
Rakyat marhaen
Tak didengar
Tak difaham
Telah sampai masa
Berbicara dengan bicara kera
Mengatakan dengan bahasa monyet
Kerana lakunya penguasa
Yang langsung tak menunjukkan
Faham dan tahunya
Siapa penguasa
Siapa dikuasa
Siapa punya kuasa!

Tasik Damai
08 Mei 2014


Jumaat, 7 Mac 2014

Umpama Sakti


Umpama sakti

Kisah dongeng di alam realiti
Melatanya bermula hanya imaginasi
Gembar-bemburnya dahulu cuba disembunyi
Dan kini,
Bermula segala aksi
Yang tak mungkin diterima khalayak kini
Demi kemaslahatan yang abadi
Hingga terlupa bocornya akal mati
Tak selamanya mampu dipagari
Makna hidup yang bukan untuk buta membabi!

Tasik Damai
Sungai Besi
07 Mac 2014



Tujuh Kali!




Bangkit tujuh kali
Jatuhnya delapan kali
Biar melilau mata kami
Berpusing putih tidak sekali
Gugurnya tak sempat berisi
Demi segugus jasa termateri.

Bangkit tujuh kali
Jatuhnya delapan kali
Demi siapa tak dipeduli
Hati yang hitam kotor ini
Behabis upaya cuba disuci
Gagal hanya kerana penakut sembunyi.

Entah kenapa
Mengapa
Sama sahaja
Walau ia
Jatuhnya berkali-kali
Kocak hati yang tak siap menyelami
Serak sedih suara cuba disembunyi
Dari rasa tak mahu dipencil lagi
Permainan pengiblis kecil yang dibeli
Senaknya memusar jauh memusat
Sudut paling tak dirai.

Tujuh kali bangkit
Delapan kali terjerit
(menjerit)
Melunas dendam yang tak sudah
Menyanyuk kusut tak kebah
Walau dirasa
Ingin diduga
Tiada rasa
Tiada masa!

Dipengakhiran kali
(yang belum tentu lagi)
Bangkit dan sungkur
Segala punca menuding sama
Segala cara mematah punca
Segala harap merebut cara.

Adakah kita
Kekal untuk bersama
Terceruk di sudut alpa
Atau
Terceruk merengkok
Demi sama rata
Yang dicabul rela
Yang dimandul mesra!

Tasik Damai
Sungai Besi
07 Mac 2014


Rabu, 26 Februari 2014

Jalan Mati

Gambar Hiasan

Mencari jalan mati
Yang kau sangka
Tiada lagi harapan
Tiada lagi persimpangan
Dalam mencari tiap-tiap
Ikhtiar yang habis kau tawarkan
Sepanjang kehidupan
Yang selama ini kau
Ragukan penyudahnya.

Mencari jalan mati
Di penghujung
Perbuatan keanak-anakan
Demi sisa hidup
Yang semakin hari
Semakin tanggal
Wajah warasnya.
Sedari mula kegagalan
Mula menghampiri
Sehingga kini
Masih lagi tak dipeduli
Langkah tari
Terkehel hari lalu
Tak diperbetulkan hingga kini.

Sesudah nanti
Di penghujung
Jalan mati ini
Sama bergantung leher
Bersama si pemutus asa
Seawal azali
Jangan di tanya kenapa
Kami di sini
Usah dihirau mengapa
Kami memilih jalan ini
Tak perlu diketahui apa
Kelak nasib kami!

Tasik Damai
Sungai Besi
25 Februari 2014

 

Khamis, 20 Februari 2014

Luka Yang Sedekad Berdarah

 Prihatinkah Kita?


Di dekad baharu ini,
Kita masing-masing
Masih
Berlainan mimpi seketiduran,
Bangun ke arah selisihan,
Bicara langsung tak seingatan.

Di dekad baharu ini,
Walau bibit-bibit
Ingin bangkit
Menyekak rapat kefahaman
Mematikan langkah
Untuk telingkah
Namun
Masih juga tak mampu
Disembunyikan
Retak-retak lama
Rompong-rompong dahulunya
Yang comot bertampalan
Yang sonsang berbetulan
Kekal merekah
Reput terus menyambung rosak
Tak dapat di tempelkan lekat
Dengan janji-janji berahi
Tentang kesefahaman.
 Inikan pula ingin bersama
Menyinsing lengan
Meramas sama
Menyeluk alang
Ke dasar permasalahan sejagat
Sedang ragu dalam diri
Tentang sendiri
Masih berceranggah
Membantai remuk
Kepercayaan
Dan
Kepura-puraan kepercayaan.

Di dekad baharu ini,
Luka dekad lalu
Masih tiada siapa
Yang ingin mengubati
Dibiar mengalir
Satu demi satu
Mangkuk yang terisi
Darah yang tak sempat beku
Tak berganti
Melimpah mencari
Saki baki isi biar kontang
Kerna
Tiada siapa menghirau.

Luka lalu
Yang telah sedekad lamanya
Tak terucap
Pedih parahnya
Masih lagi menanti
Adiwira
Seikhlas rasa
Tertanggung di jiwa
Yang ingin benar merasa
Kesaktian
Cinta
Bukan pada hakikat
Terselindung
Makna tersirat
Beribu tahun lama dijanjikan
Kalam tuhan termateri.

Luka ini
Bertitis darahnya
Yang tak akan beku
Selamanya
Masih lagi mengalir
Walau silih bergilir
Untuk terus merasa
Degupan
Kita yang saling
Tak malu mengaku
Sama.

Untuk penyudahan kisah
Sedekad lalu
Yang tragis
Mendatang dekad baharu
Yang tak pasti bertangis
Kita,
Yang masing-masing
Yang masih
-Berlainan mimpi seketiduran,
-Bangun ke arah selisihan,
-Bicara langsung tak seingatan,
Adakah akan
Terus membiarkan?

 Tasik Damai
Sungai Besi
18-19 Februari 2014



Selasa, 4 Februari 2014

Tentang Kau Dan Aku


Bukan kerana
Tingginya menjulang
Rendahnya menjunam
Tengahnya melandai.

Soalnya....
Bagaimana
Ianya terhadam
Dalam melumat
Tiap nahu yang ingin dijawab
Ke mana
Ianya tercerna
Dalam membajai
Tiap soal yang ingin
Bercambah
Membuah
Setiap solusi
Penghalangan dari
Terusan yang meributkan.

Dan ini jawabnya
Kepada penyoal
Yang meragukan
Setiap apa yang telah
Dan akan dibicarakan ;
- Carilah sendiri atap
Persinggahan meredah hidup ini
- Carilah sendiri tanih
Pemugalan menyemai pengalaman ini
Dan,
- Carilah sendiri makna
Menikmati kelansungan persoalan
Kesialan sia-sia ini.

Tentang kau
Yang masih dipagari
Dinding sempadan
Pemisahan
Di antara peradaban
Yang konon hak kau
Seorang selamanya
Tentang aku
Yang masih di
Lapangan lenggang
Memisahkan
Di antara kebebasan
Yang dituntut hak aku
Seorang selamanya.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
03 Februari 2014


Selasa, 21 Januari 2014

Cereka Reka


Cereka reka
Lucu
Seram
Tak masuk akal
Dicerita jua
Kononnya untuk
Menyumbat
Lendir kotor
Meleleh rembis
Yang menyelaput
Sedang ia
Berselut kubang
Selamanya
Dalam penipuan
Kotornya berdaki
Tak akan tertanggal
Walau ia cuba
Menjernihkan
Sedaya upaya.

Dan dalam
Cereka reka ini
 Lucu
Seram
Tak masuk akal
Ramai juga yang
Terus
Merelakan!

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
21 Januari 2013


Ahad, 12 Januari 2014

Si Gering Celaka!

 
Apa yang kau raikan?
Si gering celaka
Yang terlaknat
Menghembus sisa nafas?
Sedangkan yang diperlakukannya
Dahulu,
Lukanya masih berdarah
Bernanah
Tak terawat
Sehingga kini!
 
Biarkan,
Si gering celaka itu
Terbakar hangus sekalipun
Tak sedikit riang
Berbekas terasa
Kerana
Lompang yang ditinggalkan
Terisi durjana yang mendatang
Menerus agenda jahanam
Membusung
Di jiwa siapa yang memandang
Dan merasanya.
 
Ingat!
Telah mati
Si gering celaka itu
Bukan bererti
Juang lelah perlu terhenti!
 
Masih lagi perlu
Menggegar setiap
Ceruk raga
Isi nyawa
Untuk makna
Kebebasan
Yang benar tulen!
 
Hentikan pesta yang dirai!
 
Kembali
Beringat,
Yang mendepangi
Setiap pagar kemanusian
Dan
Kewarasan
Masih perlu
Terus silih berganti.
 
Dan
Duka berdarah
Berdekad lamanya ini
Masih menitik
Pedih darahnya
Menerus
Hingga kini.
 
Matinya
Si gering celaka itu,
Adakah bererti
Menang yang bermakna?
 
Tasik Damai
Sungai Besi
11 Januari 2013
 
 
 

Rabu, 8 Januari 2014

Dakwa Dangkal

Gambar Hiasan

Bicara tawakal
Biar berakal
Dari sejengkal
Payah meramal
Pasrah pun tetap menyoal
  Tentang sirat amal
Dalam dakwa paling dangkal!

Kampung Melayu Subang
Shah Alam
08 Januari 2014

Selasa, 7 Januari 2014

Jerit

Gambar Hiasan

Di kala,

Rezeki cari makin menyempit
Sedut nyawa makin menyumpit
Musim sakit makin mengepit
Rosak jiwa makin mengampit.

Saing hidup makin menyengit
Gila kapitalis makin menggigit
Runduk agama makin melangit
Makna setia makin membingit.

Ruang nafas makin menyikit
Hutang paksa makin membukit
Peluang sekala makin mendikit
Selesa lahad makin menyakit.

Ke mana hala hendak dijerit?

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
07 Januari 2014


Ahad, 15 Disember 2013

Puaka Zaman

Gambar Hiasan

Telah diberitakan
Ke seluruh nusa
Tentang zaman edan
Yang terlewat bangkitnya
Dari dalam kotak zaman
Yang mengghairahkan
Atau
Lebih sempurna katanya
Zaman penuh mengkhayalkan
Tentang penyelewengan
Tentang penipuan
Dari gergasi masa
Yang merobek rakus
Kenikmatan
Dari celah-celas
Mergas yang bebas!

Apa yang dimenungkan lagi?
Yang dulunya mereka
Sama bangkit
Sama baring jatuhnya
Kini jauh meninggalkan
Perjalanan kedewasaan
Dalam mengecap erti kebebasan mutlak
Jauh lebih baik
Dari dirosak
Kita yang tercandu kelak!

Dan untuk sama
Melintas
Cerun yang landai itu
Jangan perlahan bertatih lagi.

Melangkau jauh
Hendaknya dimulakan
Dengan perit pedih
Yang bukan kepalang sedih
Ada yang turut sama
Ada yang menurut tidak
Biarkan sahaja.

Demi masa dari zaman purba
Melepaskan
Kita segalanya
Bebas mencari kembali
Makna nilai
Yang disonglap
Si hantu puaka!

Lakefields
Sg Besi
15 Disember 2013


Jumaat, 13 Disember 2013

Kecil Anak

Gambar Hiasan

Kecil anak yang dipandang
Tak layak selongkar
Mana mungkin dipenuhkan
Lubuk-lubuk soal
Dalam pencarian
Makna sebenar kehidupan.

Kecil anak yang digelakkan
Tak mahu didengar
Dendang sumbang
Tak berbedung lidahnya
Asyik keramat
Disenandungkan
Dalam perjalanan
Mencari apa sebenar hakikat keduniaan.

Hanya kerana
Anggapan
Kecil anak
Tak layak
Kau perlecehkan
Apa yang seharusnya
Diperhaluskan
Ke inci ranum
Paling memerlukan.

Apa?
Si kecil anak
Tak akan meningkat
Tumbesaran?
Sedangkan kau sendiri
Bermula juga dari sekepal
Penumpuk jua?

Atau hanya
Kerana
Lagak tinggimu itu juga
Payah dialah tunduk sendiri
Menerima hakikat
Dari yang hanya kau nampak
Kecil anak?

Kampung Kerinchi
Bangsar
13 Disember 2013


Jumaat, 6 Disember 2013

Hak Dan Sempadan



Hak aku
Sempadan yang telah diwartakan
Tak akan aku jejak ke seberang
Walau kelak bersilat ajal!



Telah termaktub perjanjian
Dari mula kehidupan
Sebelum dari penciptaan
Mana mungkin
Akan bersenang lenang
Diselongkar isinya
Segamak hati yang
Tak mengenal lagi erti
Kehidupan!

Garis sempadan yang telah tersedia
Akan tetap terpelihara
Duduk letaknya
Sehingga mana
Tiada si pencabul
Dari zuriatmu
Atau
Dari keturunanku
Itu pun jika kita
Sempat untuk beradu
Tenang setelah
Menerap sekah ilmu!

Kampung Sg Sekamat
Kajang
06 Disember 2013


Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis