Nuffnang

Penaja

Isnin, 11 November 2013

Kedai Bukan Islam Menggantung Kaligrafi Ayat Suci


Assalamualikum w.b.t.

 Pernahkah antara kita yang menjamu selera di premis atau berada di mana-mana premis bukan Islam tetapi demi mengaut keuntungan dengan menarik pelanggan Islam mereka sewenang-wenangnya menggantung kaligrafi Islam? Apakah hukumnya mereka berbuat demikian?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Hukum Penggantungan Kaligrafi Islam Di Premis Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa bagi menjaga kehormatan dan kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran dan kalimah-kalimah suci agama Islam, perbuatan menggantung apa jua ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah-kalimah suci agama Islam di premis-premis bukan Islam atau mana-mana tempat yang boleh mendedahkannya kepada penghinaan, penipuan atau penyalahgunaan adalah dilarang oleh Islam.
Penjualan dan penyimpanan kitab suci al-Quran di kedai-kedai yang dimiliki oleh orang bukan Islam adalah juga dilarang oleh Islam kerana ia boleh membawa kepada penghinaan ke atas kehormatan dan kesucian kitab suci tersebut.

Keterangan/Hujah: 
  1. Perbuatan orang bukan Islam menggantung kalimah Muhammad ataupun apa-apa sahaja kalimah suci umat Islam di dalam premis mereka adalah dianggap menghina dan mencemarkan kehormatan kalimah-kalimah suci tersebut.
     
  2. Fatwa Lajnah Daimah Lil Ifta' Arab Saudi memutuskan bahawa kehormatan kalimah-kalimah Islam adalah sama dengan ayat-ayat suci al-Quran. Ia sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat-tempat yang boleh dianggap menghinanya.
     
  3. Tindakan dan perbuatan orang-orang bukan Islam menggunakan ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah-kalimah suci agama Islam sebagai bahan hiasan atau tarikan boleh terdedah kepada penipuan dan penghinaan ke atas kehormatan ayat-ayat suci atau kalimah tersebut. Di samping itu, ia juga akan menimbulkan kemarahan umat Islam.
     
  4. Larangan juga perlu dibuat ke atas kedai-kedai buku milik orang bukan Islam yang menjual al-Quran kerana dibimbangi cara pengendalian dan penyimpanan kitab suci tersebut boleh terdedah kepada penghinaan.
     
  5. Terdapat sebahagian orang bukan Islam yang meminati kesenian dan keindahan seni khat dan mereka menjadikan kaligrafi-kaligrafi ayat suci al-Quran sebagai hiasan di rumah mereka.
     
  6. Kesenian khat ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah-kalimah Islam boleh menjadi medium dakwah kepada orang bukan Islam. Walaubagaimanapun sekiranya dibimbangi ia boleh terdedah kepada unsur-unsur penghinaan, maka ia perlu dicegah. Rujukan
 Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita seharusnya memantau premis-premis yang sengaja mencari keuntungan menggunakan cara begini dengan melaporkan kepada pihak berkuasa dan memboikot terus perniagaan yang secara terangan mengambil kesempatan di atas kapasiti jualan kepada Muslim di negara ini.

 Dalam soal ini, kepekaan kita seharusnya dititik beratkan. Ini belum disentuh persediaan makanan dan minuman halal di premis bukan Islam. Sekiranya kita terus memandang enteng perkara ini, masalah yang lebih besar kelak dapat dipengaruhi keputusannya di masa hadapan dengan perbuatan kita di masa sekarang.

Sekian,
Wassalam


Tiada ulasan:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis