Seringkali setelah kita membaca akhbar atau berita mengenai kes-kes jenayah, akan terpacul dari lidah kita tanpa atau dalam sedar kata-kata keji dan nista kepada si pelaku jenayah. Walhal, ada sesetengah kes itu masih dibicarakan di dalam mahkamah.
Ada juga apabila terjadi sesuatu yang buruk di sekeliling kita, dengan pantas kita menjatuh hukum dan merendah-rendahkan martabat seseorang yang melakukan kesalahan. Mengapa? Adakah kita yang ada bersangkutan dengan perkara itu atau tidak mempunyai hak untuk mencaci nista dan menghina pelaku jenayah tersebut?
Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Apabila seorang
hamba sahaya perempuan melakukan zina dan telah nyata zinanya maka
sebatlah ia (dengan 50 kali sebatan) tetapi janganlah menghinanya
(dengan kata-kata kesat), kemudian jika dia berzina lagi (buat kali
keduanya), maka sebatlah dia tetapi janganlah menghinanya. Kemudian jika
dia berzina lagi buat kali ketiganya, maka juallah dia sekalipun dengan
seutas tali daripada bulu(haiwan)”.- Riwayat Bukhari & Muslim.
Huraian Hadith:
- Seorang hamba sahaya perempuan yang melakukan zina wajib disebat
sebanyak 50 kali dan haram menghina dengan kata-kata kesat terhadapnya.
- Pemilik hamba sahaya perempuan wajib menjual hamba itu jika hamba itu
telah berzina sebanyak 3 kali sekalipun dengan harga yang sangat murah.
- Islam mengajar umatnya supaya tidak menghina seseorang sekalipun dia telah melakukan perbuatan yang buruk.
- Kita disuruh memisahkan diri daripada golongan maksiat atau
memulaukan mereka supaya tidak bergaul dan bermuamalat dengan mereka.
- Walaupun hamba itu disuruh supaya dijual tetapi tuannya mestilah
memberitahu keaibannya (iaitu suka berzina) kerana penjual wajib
memberitahu ‘aib barang yang hendak dijual.
Oleh itu, jangan kita sewenang-wenangnya melemparkan kata-kata kesat lagi memalukan kepada sesiapa sahaja walaupun mereka telah melakukan kejahatan yang maha dasyat. Kelak kita sendiri mendapat kemurkaan oleh Allah S.W.T. Semoga kita sentiasa dihindari dengan perkara-perkara yang merosakkan dan sentiasa dilindungi oleh Yang Maha Kuasa.
Sekian,
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan