Nuffnang

Penaja

Khamis, 30 Mei 2013

Kegemaran : Pei Pan


 Tajuk buku : Pei Pan
 Penulis : Ramlee Awang Murshid

 Kisah dendam dan air mata. Kisah gunting dalam lipatan. Kisah seribu satu muslihat manusia berkiblat matlamat tidak mengenal cara. Jatuh bangun seorang manusia. Sebentar di atas, sebentar di bawah. Walau pun karya ini berkisar tentang dunia korporat, tapi banyak kisah yang boleh dijadikan tauladan. Dari puncak bahagia, ke lurah paling dalam dengan nista. Bagaimana dan kenapa. Bergolak jiwa dan raga. Pada yang belum berkesempatan menelaah isi khazanah tak ternilai dalam karya Ramlee Awang Murshid ini, tidak rugi kiranya menjadikan karya ini sebagai simpanan di gedung pembacaan kita.

Tanpa Nama

Terpinga aku
Diaju soalan
Terpana aku
Diasak lontaran
Teresak aku
Dihimpit asakan.

Ketika
Puaka zaman
Dengkur dibuai mimpi,
Sisi yang malap
Mudah amat
-Diterangi
Oleh sinar murni.
Yang dipasak
Mudah amat
-Digugahi
Oleh tangan sakti.

Jangan nanti
Dicaci
Disumpahi
Oleh bakal generasi
Kerana
Yang muda itu mandiri
Yang tua itu terketar pundi.

30 Mei 2013
Paya Jaras

Rabu, 29 Mei 2013

Kegemaran : Hatiku Terluka Di Bukhara


Tajuk Buku : Hatiku Terluka Di Bukhara
Penulis : Wan Hashim Wan Teh

 bertepatan dengan kata-kata editor bagi buku yang menjadi finalis pertandingan Hadiah Pak Sako ini, "sebuah travelog kaya ilmu". Ketika membaca karya ini, aku masih di tingkatan 4. Hatiku cukup teralun dek jalan cerita buku ini. Tersentuh, teruja bercampur aduk. Wan Hashim Wan Teh begitu bijak dalam penulisannya ini. Terkadang aku sendiri terbawa langsung ke dalam karyanya ini. Terima kasih kepada penulis yang banyak mencurah sedikit titipan perjalannya, pandangannya dan ilmunya. Setelah aku tamat membaca buku ini, air mata mengalir deras. Dunia yang ku lihat pada ketika itu amat kecil dari hakikatnya. Bila agaknya akan aku berjaya melihat dunia yang bukan dari kaca mata katak yang terpelusuk jauh di dalam tempurung?

Ahad, 26 Mei 2013

Untuk Sang Pemikir (didedikasi khas untuk yang mahu mengerti)


Bahagian Satu.

Kita…
Anak cucu cicit
Tak berbangsa
Amat kenal dengan
Nama seperti
Dato Onn Jaafar
Tunku Abdul Rahman
Tun Tan Cheng Lock
Tun V.T Sambanthan

Gah nama mereka di lipatan sejarah.

Tiap butir sejarah dititip
Disusun indah harum mewangi
Seharum kasturi
Sepanjang zaman.

Jasanya,
Keringatnya,
Perjuangannya,
Hingga terlahirnya
Negara Bangsa.
Persekutuan Tanah Melayu
Dulunya….
Malaysia
Kininya…
MERDEKA
Selamanya….

Tapi….
Ke mana pula perginya
Nama
Seperti….
Dr Burhanudin Al Helmi
Ibrahim Haji Yaakob
Ahmad boestaman
Ching Peng
Rashid Maidin
Hanya sepintas lalu,
Dihitamkan…
Tiada peranan
(Kononnya)
Malapetaka
(Kononnya).
Kubur tidak bernesan
Berselerakkan…
Bertaburan…
Keringat…
Air mata…
Darah…
Tiap getir meniti nista
Tiap maung berantai noda
Busuk…
Jijik…
Sekotor dasar sungai klang
Di tengah denyut nadi bandaraya.
(angkara siapa?)

Itulah yang disumbat
Itulah yang dilagukan
Sepanjang hayat
Lirik sejarah
Disenandungkan!

Ada juga yang bertanya
Siapa dia
Abdul Rahim Kajai
A Samad Ismail
Tongkat Warrant
Keris Mas
Za’ba.

Apakah itu
Warga Tua
Warga Muda
Asas 50
Bingung!

Manakan tidak
Buku apa yang
Dikelek?
Kitab apa yang ditilik?
Helaian apa yang dibelek?
Kenal kah dengan
Karya agung bukan
Picisan
-‘Bahasa Melayu Tidak Berharga’
Terjumpakah?
-‘Kail Panjang Sejengkal’
Insafikah?
-‘Tulang-tulang Berselerakan’
Kenalkah?
-‘Pahlawan Rimba Malaya’
Terbacakah?
-‘Umbi Kemajuan’
Atau ADA kah yang masih kenal
Tun Sri Lanang?
(Ketawa)..

Setelah
Robohnya kota Melaka
Ramai mengasap keris
Menikam-nikam awangan
Ramai juga yang ketemu ajal
Bukan bertikaman maut…
Tetapi…
Lemas…
Di lautan duniawi
Tergadai janji
Turbusung maruah
Dasar manusia
Bertunjangkan nafsu
Lalat penghurung
Bangkai!

Yang tinggal…
Hanya perwira bangsa
Yang benar-benar mengerti
Mata pena
Menjadi senjata
Menginsafi diri
Mengajari.

Tapi…
Ke mana menghilangnya
Merdeka?!
Nun di sana
Di tanah serendah
Sekebun bunga
Sepi…
Menyendiri…
Bagaimana pula satria bangsa
Yang gugur di perbatasan
Terbelit di antara
Pendusta
Didustakan
Ah!!!
Tuhan sahaja yang
Maha Mengetahui.

Tidak kurang juga
Ada yang meronta-ronta
Melontarkan
Persoalan tentang
Mogok Akhbar
Darurat
13 Mei
Tragedi Natrah
Peristiwa Memali
Aduh!!
Yang hitam akan kekal
Gelap
Yang luka akan kekal
Berdarah
Yang berdarah akan kekal
Bernanah!

Mengapa perlu
Ditapis pemikiran?
Dibelengu persoalan?

Tidak kan bercambah benih
Jika tidak dibajai
Tidak kan kontang
Lautan jika tidak
Dihujani
Untuk apa dibiarkan?
Yang celik dibutakan?
Yang bersuara dibisukan?
Yang mendengar dipekakkan?
Yang bergerak dipasungkan?

Yang tinggal dungu
Itu siapa?
Pak Pandir?
-Yang mati anaknya direbuskan
Mat Jenin?
-Yang mati dirinya diawangan
Lebai Malang?
-Yang kendurinya keciciran.
Tok Kadok?
-Yang kampungnya kegadaian

Siapa yang punya hati
Berbisik!
Siapa yang punya kaki
Mengorak!
Siapa yang punya tangan
Menggapai!

Kampung Melayu Subang
24 - 26 Mei 2013


Khamis, 23 Mei 2013

Pusaran

Dalam pusar yang memutar
Sebentar ke tengah
Sebentar ke tepian.
Berpintalan
Antara pusing dan pening
Sebentar ke tengah
Sebentar ke tepian

Yang lemah ;
terus longlai
Yang kuat ;
terus gagah.

Bagai terjunam ke dasar
Tak berhujungan.
Bagaimana untuk diteruskan?

Aduhai,
Lelah tak berkesudahan.

Yang jatuh ;
bingkas bangun
Yang bangun ;
tersungkur jatuh
Masih terus di dalam pusar.

Mana di cari mangkinnya?

Kampung Melayu Subang
21 Mei 2013

Rabu, 22 Mei 2013

Kegemaran : Imam


Tajuk buku : Imam
Penulis : Abdullah Hussain

 Tentang Imam. Tentang perubahan. Tentang sisi manusia yang paling jelik. Karya Abdullah Hussain ini berkisar tentang realiti masyarakat kita. Masyarakat yang jumud dan asing dengan perubahan. Banyak sekali teguran dan kritikan yang tersirat perlu kita hayati bersama. Banyak pengajaran yang perlu kita kutip. Nescaya melalui pembacaan karya ini anda akan berasa puas dengan ilmu yang dicurahkan Abdullah Hussain dan terasa dekat dengan pemikirannya, kritisnya yang boleh dijadikan panduan pada mereka yang ingin melangkah jauh meninggalkan pemikiran yang sempit.

Selasa, 21 Mei 2013

Kegemaran : Balada Hilang Peta






Tajuk Buku : Balada Hilang Peta
Penulis : A Samad Said

 Himpunan puisi-puisi Pak Samad yang aku sayangi. Banyak puisi-puisi Pak Samad di dalam buku ini amat terkesan pada ku. Terutama sekali puisi " Lagu Bunga 2 ". Sambungan dari puisi pertama yang Pak Samad dedikasikan selepas kematian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Dalam syahdu yang merindu, puisi Pak Samad terkias jua kritik yang tajam dan sentiasa membuatkan aku terjerumus ke lembah fikir yang mendalam. Semoga dengan mentelaah isi kandungan buku ini kita sama-sama dapat menyingkap seribu satu rasa dalam dunia seni insan yang amat disegani ini.

* Sesekali merindu Pak Samad mendeklamasikan sajak " Lagu Bunga Dua ". Amat terkesan. Bagai tiada sesiapa pun yang layak dapat mendeklamasikan sajak ini selain beliau.

Isnin, 20 Mei 2013

Untuk Mu

Bonda,
Terima kasih
Kerna melahirkan
Memberi sepenuh jiwa
Hingga kini
Aku mampu
Melangkah
Kukuh berlari mengejar impian

Ibu,
Terima kasih
Kerna sentiasa didamping
Memberi kata perangsang
Hingga kini
Aku punya ketabahan
Menempuh kelukaan ini.

Emak,
Terima kasih
Kerna sentiasa membelai
Memberi kehangatan
Hingga kini
Kau punya kecekalan
Untuk meniti kesukaran ini.

Mama
Terima kasih
Kerna sentiasa memahami
Memberi peringatan
Hingga kini
Aku punya kedamaian
Dalam menempuh kehidupan ini.

Bonda,
Ibu,
Emak,
Mama
Sepenuh hati mencurahkan
Sepenuh raga menumpukan
Walau dikejauhan
Tiap degup nadi anakmu
Dirasai
Dimengerti
Difahami.

Tidak dipinta
Selaksa intan
Segunung permata
Selautan berlian
Hanya kasih
Pengubat rindu
Dipenghujung usia.

Garis-garis tua
Berserakan
Tetap utuh kasih dan sayangnya
Walau hati dipukul badai
Walau jiwa dilanda ribut
Tetap menguntum senyum di wajah
Secangkir kasihnya menamat
Penderitaan.

Di celah retak telapak kakinya
Punya syurga,
Di lipatan rekah tapak tangannya
Punya kedinginan
Di sebalik kuntum senyumnya
Punya pengharapan
Memberi
Tidak ingin meminta
Berkorban
Tidak harap berbalas
Hanya kasih.....
Kasih...
Walau tidak dipinta
Jangan dilupa.

Bonda,
Ibu,
Emak,
Mama,
Apa sahaja panggilan
Anugerah setiap yang bergelar
Anak.
Tidak terbilang jasa
Tidak terhitung budi
Hanya tuhan
Yang Maha Mengerti,
Moga Tuhan
Memberkati
Meredhai.

Kampung Melayu Subang
* walau agak terlewat.Mencari sisi sepi payah amat.

Kegemaran : Tulang-tulang Berselerakan


Tajuk novel : Tulang-Tulang Berselerakan
Penulis : Usman Awang

 Karya Sasterawan Negara ini, selalu membuatkan emosi ku terhambat. Terkadang aku sendiri terhantar ke kancah zaman perang dek kerana Usman Awang menukilkan karyanya ini penuh teliti. Kisah yang bagaikan jurnalis kehidupan Usman Awang sendiri.Penuh emosi dan terkadang terdapat jeritan sanubari penulis dalam setiap lakaran plot di dalam novel ini. Dalam novel ini juga, anda akan dapati betapa tinta Usman Awang bagaikan punya magis. Tidak rugi sekiranya membaca novel ini. Walau kehidupan yang kita lalui adalah selepas perang, namun sekiranya kita mampu menghadamnya dengan baik, pasti anda juga akan sependapat dengan saya.

Ahad, 19 Mei 2013

Kekalutan

Dalam kekalutan
petang itu
terus tergugah.
Langit mendung
guruh berdentum.
Anak kecil kegirangan
ibu di dapur kegelisahan
aku di laman kegemparan
habis tercurah air di tempayan.
Dalam kekalutan
petang itu
yang dinanti tak tiba jua
yang girang kebosanan
yang gelisah kegeraman
yang gempar kesesalan
yang tercurah kekontangan.
Lembayung petang itu
berlalu jua
tanpa seorang pun
dapat menghalang.
Kajang
19 Mei 2013

Kegemaran : Hikayat Amir Hamzah


Tajuk novel : Hikayat Amir Hamzah
Penterjemahan : A Samad Ahmad

 Hikayat Amir Hamzah, adalah karya kesusasteraan Melayu Klasik. Bila disebut "hikayat' pasti terlintas difikiran bahasa Melayu klasik yang digunakan semasa pemerintahan kesultanan Melayu. Amat mendalam kasih dan sayang ku terhadap karya ini. Mungkin bertitik tolak mengenai jejak kisah hidup Amirul Mukminin Amir Hamzah, bapa saudara Nabi Muhammad S.A.W membuatkan aku teruja untuk membaca karya ini. Terima kasih amat pada A Samad Ahmad yang berkerja keras dalam penterjemahan hikayat ini. Pada yang belum membaca hikayat ini, cintailah kisah-kisah hikayat Melayu Klasik, agar karya yang ada terus menjadi warisan di masa yang mendatang.
Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan jika ada yang tertib menjaganya. Ini susur galur kita. Kita kelak yang mempertahankannya.

Sabtu, 18 Mei 2013

Cahaya

Yang kelam gelap
Pasti berganti cahaya.
Yang terang cahaya
Pasti berganti gelap.

Sudah itu hukum alam
Tiada yang mendahului
Tiada yang didahului.

Cahaya yang menyinar
Pasti;
Melata
Merayap
ke segenap inci
Ruangan
Pasti.

Kepada yang ingin
Sentiasa bergelap
Menyekat cahaya,
Cubalah
Seupaya
Ingin juga aku melihat
Berkurun lamakah
Dapat ditahani
Atau
Sesaat juga dicerobohi

Kampung Melayu Subang
18 Mei 2013

Kegemaran : Kawin-Kawin






Tajuk novel : Kawin-kawin
Penulis : Azizi Hj Abdullah

 Novel ini amat menjentik sanubari ku. Pertama kali melihat tajuknya sahaja telah tercuit geli di hati. Kebetulan ketika itu aku baru tamat belajar Bab Perkahwinan dalam Pendidikan Islam tingkatan 5. Selepas membaca karya ini baharulah ku tahu nilai tajuk buku ini. Bertepatan dengan kata pengantar, "sebuah satira penuh emosi, menjentik minda, menjentik hati" tidak lekang senyum di bibir,kerut di dahi,menahan degus nafas. Pada mereka yang belum sempat menghadam karya ini aku berikan kata-kata galakan tetapi jangan hanya tertarik dengan tajuknya sahaja kerana Azizi dalam karyanya amat bijak bermain emosi.Tiap bait ayatnya penuh kritik yang kritis.Dari yang tercantik hingga terhodoh berjaya penulis nukilkan sebaiknya. Luaskan pemikiran anda. Kelak anda dapat menelan satu persatu apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Sebuah karya yang bukan picisan.

Untuk Kawan, Sahabat dan Teman

Kata orang
kawan itu penting.
Kata orang
sahabat itu penting.
Kata orang juga
teman itu juga penting.
Ya,
benar,
tiada yang bersalahan.

Kawan itu bukan lawan
(mungkin)
Sahabat itu bukan ubat
(mungkin)
Teman itu bukan jalan
(mungkin)

Masih adakah lagi
yang mendakap erat mimpi semalam?
mendukung kukuh janji semalam?
mengendong kemas jalinan lepas?

Atau,
kita masing-masing
penghurung arus
Terhimpit
Menghimpit
apa yang kita kejari?
atau ada yang mengejari?
Tenanglah sebentar
kenanglah sejenak
bukan untuk siapa
kelak nanti,
habis tenaga
kaku anggota
tercerai nyawa
siapa bakal mengusung kita?

Selamt..
untuk kawanku,
untuk sahabatku,
untuk temanku,
semoga kita dipermudah.

18 Mei 2013
Kampung Melayu Subang

Bertatih Semula

Dalam mencari damai,
aku terbang terlalu tinggi
menerawang;
jauh ke tengah khayalan
tersumbat telinga;
asyik dendang sayu
tersilau mata;
asyik sinar ayu
terkedu lidah;
asyik tasbih rindu
Dalam khayal keghairahan
terketuk ingatan
yang terbang
sejauh tinggi
pasti kan turun
berjejak ke bumi
dan akhirnya
belajar untuk
bertatih semula.
Paya Jaras
18 Mei 2013

Kegemaran : Salina


Tajuk novel : Salina
Pengarang : A Samad Said

 Novel pertama yang ku tekuni membacanya sehingga tamat. Aku kira inilah "cinta pertama" yang bertaut lama padaku. Bertitik tolak dari "percintaan" ini, sehingga kini aku amat menyayangi kesusasteraan melayu. Walau karya Pak Samad ini mendapat kritikan kerana mengangkat sisi hitam seorang wanita era selepas penjajahan Jepun, aku kira itu tidak sedikit pun mematahkan minat ku terhadap karya ini. Pak Samad terbukti berjaya mengolah jalan cerita, lirik bahasa, sehingga terkadang aku dapat rasakan wujud "kehidupan" di dalam karya ini.Pada yang belum berkesempatan menelaah karya ini, tidak rugi untuk kita membuka lembaran dan halusi tiap degup perkataan di dalam karya Sasterawan Negara ini.

Jumaat, 17 Mei 2013

Jemaah

Dalam sesak
yang berantak,
masing terbaris
mengikut garis,
taat perintah
ikuti langkah.

Sungguh indah
jika kita sentiasa
jemaah.

Paya Jaras
17 Mei 2013

Pagi Dingin

Longlai langkah ku catu
memijak tanah lembap
rintik hujan lemah
perlahan tak kesudahan
entah sejak bila
entah sampai bila.
Ku lihat,
warga kerja seiring ku
sugul tak seceria selalu
mungkin,
tadi pagi
terkoyak mimpi
dek bunyi gempita
detus masa
mengejut di awal
pagi dingin.
Kampung Melayu Subang
17 Mei 2013

Tiada Nama


Mata cukup payah lena
hangat meronta menggila 
kering cuaca tak seperti biasa
dendam bumi bersama buana
kerna rakus makhluk bernama manusia.



Esok tekad bersama
melumba hijau bumi melata
tanah kontang dibaja
segala ragam henti seketika
demi masa ke depan kononnya 
yang ku tahu kelak tersia.



Kg Melayu Subang
17 Mei 2013

Terima kasih cikgu

Terima Kasih kerana mengajar saya awalan A,B,C,D,E
sehingga terkumpul bunyian perkataan di hujung lidah,
Terima Kasih kerana mengajar saya dari 1,2,3,4,5

sehingga tercongak jutaan bilangan tak terhitung,
Terima Kasih kerana mengajar saya dari seputih kain

sehingga tercorak warna-warni kejayaan,

Terima Kasih kerana mengajar saya dari AKU,

sehingga terbentang nilai SAYA.

Terima Kasih Cikgu.


Kampung Melayu Subang
16 Mei 2013 

Salam perkenalan.

  Salam perkenalan pada semua. Di sini, saya dengan rasa rendah diri ingin berkongsi minat bersama anda semua yang cintakan Seni Sastera Bahasa Melayu. Dalam kita merangkul pembangunan material yang memesat, budaya dan seni jati diri kita tidak akan luntur agar terus mengalir dari generasi ke generasi yang akan datang. Di medan ini ingin saya berkongsi catatan seni, luahan seni anda untuk kita bersama meningkatkan lagi daya sastera seni yang kita cintai. Di sini tiada garis bangsa, rintangan umur selagi mana kita merasa denyut detak seni di sini segalanya kita bentangkan bersama. Yang kurang kita tambahi, yang melimpah kita alir untuk semua.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis