Nuffnang

Penaja

Ahad, 30 Jun 2013

Yang Dinanti


Degup jantung
Yang pertama
Didengar
Kencang
Merimbun kasih
Tak tercapai.

Gerak anggota
Yang pertama
Terasa
Gegar
Bercambah cinta
Tak tertuai.

Sapaan gerakan
Yang pertama
Terpampang
Meruntun
Berganda rindu
Tak berbelah.

7 bulan kini
Menanti
2 bulan lagi
Menyusuri
Anugerah untuk
Walid dan umi
Menyinari
Cinta kami
Moga
Rezki melimpahi
Gembira tak terperi
Untuk anak yang dinanti.

Kampung Melayu Subang
30 Jun 2013

Dendam


Dendam yang
Lama membusung
Membalut
Nafas yang mendalam
Tersedut sentak
Mengejutkan
Puaka amarah
Yang lama
Membara
Bercambah
Marak
Menjilat nafsu
Penuh rakus.

Dendam yang
Lama tak dilunas
Basah dek darah
Yang membuak panas
Mencari arah
Dalam gelita
Puas
Mecarik
Hutang yang digadai
Hilang tak
Berketahuan.

Kampung Melayu Subang
30 Jun 2013 


Jumaat, 28 Jun 2013

Di Bawah Terik Mentari


Di bawah terik mentari
Yang mencarik
Tak lepas
Menggigit
Kulit yang
Keras menghitam
Urat-urat hidup
Yang melingkar
Mendenyut menahan.

Di bawah mentari terik
Itulah
Bermacam tukang
Mengukir
Kisah hidup
Di atas kayu dunia
Tak terlupa
Kisah hidup
Tanggungannya
Yang digilap
Yang diraut
Agar tak
Sekelam kisah hidupnya.

Di bawah mentari terik
Itulah
Bukti kasih
Walau
Peluh yang menitik
Berpelupuh ruas jari
Merekah tapak kaki
Harga kasih
Tak terbayar
Pengorbanan
Tak terhingga
Demi
Waris hidup
Diteruskan kisah hidup
Lebih indah darinya.

Kampung Melayu Subang
28 Jun 2013



Menanti Jumaat Yang Syahdu


Dalam tangis sendu
Yang tak terpadam
Menanti
Jumaat yang syahdu
Bertali rindu
Terdakap erat
Ketenangan
Selepas ribut datang
Hanyut
Hingga ke penghujung
Nafas
Sesak
Tersandar.

Di ruang
Penuh tenang
Menanti
Jumaat yang syahdu
Di penghujung waktu
Bergegas
Terbawa arus
Membina atas
Desak dunia
Hilang di kaki jiwa
Yang tewas
Dikalahkan tuntutan.

Jumaat yang syahdu
Terdakap erat
Tinggal
Tak dilepas
Untuk mereka
Yang tewas
Menebus
Sesal
Hingga ke hujung nafas.

Kampung Melayu Subang
28 Jun 2013


Rabu, 26 Jun 2013

Di Pintu Gua


Ternanti di pintu gua
Teleku,
Merunduk,
Hujan yang membasahi
Tak berbelas
Menghunjam
Deras memalu.

Kaki amat payah
Diatur langkah
Walau setapak
Mendepang
Kira lakunya.

Pintu gua
Masih setia
Walau keras
Berteleku
Merunduk
Terpisah
Di antara garis dunia
Masih tidak mahu
Menjangkau
Takdir tak tergerak.

Kampung Melayu Subang
26 Jun 2013


Ahad, 23 Jun 2013

Tragedi Resah (petang yang dirantai jerebu)

Warga nusa
Semakin gelisah
Terbelenggu resah
Bertambah lelah
Mundur mandir
Teriak herdik
Malapetaka berpunca
Jerih tak sudah
Retak menanti belah
Makin goyah
Apabila
Bersadur amarah.

Tragedi resah
Yang menambah lelah
Berlaku sudah
Walau ia ulangan
Ramai yang
Awalnya
Menyepi
Apabila parah
Berceratuk konon
Ke meja runding
Tak kurang juga
Ke kuda pusing
Langkah yang perlahan
Terarah sia-sia cuma.

Ke mana hilangnya
Semangat persaudaraan kita?
Walau ada anjing
Yang menyalak
Meruncing buluh
Berteriak gaduh
Tinja dibubuh
Bodoh yang sukar diasuh
Kita semua asalnya
Dari rumpun yang sama
Perihal masalah
Yang mendatang
Usah kita
Mematah lidah
Menusuk jari menikam
Ke pesalah
Yang mungkin disalah.

Tragedi resah
Yang menambah lelah
Telah pun berlaku
Menanti ia berlalu
Simpan sahaja
Api amarah
Yang marak itu
Kerana
Sedang kita
Menghentak
Teriak herdik
Malapetaka berpunca
Menusuk jari menikam
Si pesalah
Yang mungkin disalah
Kita mudah lupa
Yang
Kita
Anak kita
Juga menambah punca.

Paya Jaras
23 Jun 2013

Arus Malam


Arus malam
Yang bersahut
Dari dinding ke dinding
Tak putus
Gemanya
Melangkau hingga
Ke pusat
Dunia paling jauh
Ketika gelap
Di sebelah timur
Ketika terang
Di sebelah barat
Jauh makin dekat
Sempadan
Undang-undang
Berdaulat
Runtuh sama
Sekali
Berbaki hanya
Untuk si bacul
Yang menjual
Harga diri
Takut
Periuk nasinya
Diterbalikkan
Sedang dia
Tahu
Di sini tiada lagi
Pendusta
Di sini tiada lagi
Sesiapa ingin percaya.

Kampung Melayu Subang
23 Jun 2013


Sabtu, 22 Jun 2013

Terima Kasih


Terima kasih
Aku ucapkan
Seikhlasnya!
Ketika sedang
Utuh bangkit
Dukungan di belakang
Berselut kaki
Tak mengapa!
Injak rintang
Rapuh dan hancur
 Berderas nestapa
Pun tak mengapa!

Hanya kerana takut
Hakikat yang diubah-ubah
Takdir yang diacah-acah
Mengapa
Seintim pengalaman yang dipikat
Dimandulkan tercabut?
Seakrab ilmu yang dijebak
Dikurungkan tertunduk?
Sifar gudang jiwanya!

Susuk jiwa yang landai itu
Hanya menanti
Dengan penuh ngeri
Dicampak sejauh
Budi yang bertabur
Aku juga yang tergapai
Menanti penyelamat
Yang menyelamat
Halkum nafasnya sendiri
Agar tak tersumpat!

Terima kasih
Sekali lagi
Kali ini
Aku ucapkan dengan
Lebih ikhlas lagi!

Kampung Melayu Subang
22 Jun 2013

Kalau Jangan


Kalau,
Tangan yang kasar
Takut memusnah
Jangan diutus
Penyeri laman.

Kalau,
Hati yang keras
Takut merampas
Jangan dimain
Pendendam rasa.

Kalau,
Hidup yang menyusah
Takut mencemar
Jangan dihampar
Beribu dusta.

Kalau,
Hidup yang disusah
Takut menyesal
Jangan disoal
Indah dunia.

Kalau,
Pemudah kata
Jangan,
Memaham jiwa.
Elok jangan
Dari kalau
Ibarat
Berbuah busuk di dahan
Jatuh ke paya
Tak dihurung jua.

Kampung Melayu Subang
22 Jun 2013


Jumaat, 21 Jun 2013

Belum Sempat Diisi


Sendu malam
Masih bersahut
Hingga subuh tadi.

Merangkak
Mengesot
Untuk diisi
Ruangan yang kosong
Dengkur
Ketap gigi
Gemersik
Pabila embun menitik.

Tangis malam
Masih berjujuran
Hingga subuh tadi.

Menangkup
Menggigil
Untuk dirasai
Mimpi yang kosong
Dengkur
Ketap gigi
Menyepi
Pabila muncul mentari.

Hiba malam
Mengejut mimpi
Hingga subuh tadi
Sepi
Tiada yang
Berdengkur
Tiada lagi
Mengetap gigi
Tahulah sudah
Malam berlalu
Belum sempat diisi.

Paya Jaras
21 Jun 2013


Ahad, 16 Jun 2013

Kita Hanyalah Hamba


Dalam kisah duka
- Ada tawa
Dalam kisah tawa
- Ada duka
Aturan langkah oleh Yang Kuasa
Kita boleh bermohon cuma
Merancang sahaja
Agar tiada apa
Menggegar sukma
Usahlah kita
Menderu ke gua
Mencari erti di dalam dunia
Insafi diri seketika
Hakikat yang sebenar perlu diterima
Kita hanyalah hamba
Tak perlu berlumba-lumba
Menggenggam jaya selamanya
Gagal yang dirasa
Ada ertinya
Di suatu masa.
 
Kampung Melayu Subang
13 Jun 2013


Isteriku

Isteriku,
Pohon cinta
Yang disemai
Bertahun dulu
Rimbun telah
Dedaunnya
Ranum telah
Buahnya.

Isteriku,
Akar rindu
Yang menjalar
Jauh
Akan terus
Mencari kasih
Yang tersembunyi
Di balik kelikir
Tajam tersemat
Jangan ada dusta
Antara kita.

Isteriku,
Bersabarlah,
Bila pohon cinta kita
Rendang
Teguh
Walau terkadang
Dihentam ribut,
Dahan yang reput
Patah
Akar rindu
Yang menjalar itulah
Mengerat ke tanah.

Kampung Melayu Subang
13 Jun 2013

5 Tahun Yang Lalu (didedikasikan kepada Mohd Faizal Bifa Bin Fadzillah dan isteri)

5 tahun yang lalu,
Tika kami masih
Berlari mengejar mimpi,
Tidak disangka
Ada kisah cinta
Yang mula disangka
Angan sahaja
Tapi berakhir
Tika diijab kabulkan.

Teman-teman yang ada
Menangis gembira
Bersaksi
Tak tersangkakan
Moga hadir
Kasih setia ke penghujung usia.

5 tahun yang lalu,
Tika kami masih
Keras mengatur mimpi
Tidak disangka
Ada kisah sedih
Yang mula disangka
Gembira sahaja
Tapi berakhir
Tika sendu bercucuran.

Teman-teman yang ada
Terkedu gerak
Bertafakur
Tak tersangkakan
Moga hadir
Rezki bila sampai ketika.

5 tahun yang lalu,
Tika kami telah
Erat menggenggam mimpi
Apa yang tidak disangka
Ada senantiasa
Kisah sedih
Kisah gembira
Bersilih
Tak berakhir
Beriringan.

Teman-teman yang ada
Beribu rasa
Tak tersangka
Semoga ke hujung usia
Semoga rezki sampai bila ketika.

Andai masa bersua
Kisahkanlah
5 tahun yang lalu
Menjadi terusan
Kisah hidup
Yang telah dilalui
Yang bakal dilalui.

Kampung Melayu Subang
16 Jun 2013

(didedikasikan kepada Mohd Faizal Bifa Bin Fadzillah dan isteri)

Khamis, 13 Jun 2013

Ribut Berita

Ribut berita
Yang menggocang
Tak sudah memukul
Tak sudah membadai
Gawat!

Ke seberang tanah
Yang tenang
Gusar aku memandang.

Hospital Sg Buloh
13 Jun 2013

Ya Kasih

Tasbih rindu
Ku senandungkan
Untuk mu
Ya kasih
Tak luntur dari ingatan
Tatkala kita bersua
Rintih kasih
Yang terpisah
Setahun menjarakkan
Ternanti
Episod baru
Kita gerakkan.

Masih ingatkah
Ya kasih?
Setahun yang lalu
Engkau mengajarku
Membendung gelora
Mengawal nafsu
Hingga tika
Mentari terbenam
Kita bersama
Melepaskan
Merelakan
Rindu yang ditahan
Nafsu yang amukan.

Indah malam
Kita bersama
Bercumbuan
Hingga lelah
Ketar kaki
Ke penghujung waktu
Tak dihirau
Kelak yang terjadi.

Hari-hari yang berlalu
Tika setahun dulu
Masih terpahat
Indah di ingatan
Sampai ketika
Kita terpisah
Jauh memisahkan
Akhirnya
Kita kelak akan bersua.

Aku sedang
Menghitung waktu
Ya kasih ku
Untuk kita bertemu.

Ya Ramadhan
Ya kasih
Penawar dukaku
Moga kita kesempatan
Bersua
Bersama
Meniti hari
Seperti dahulu
Hingga penghujung waktu
Mengisi janji yang terikat
Membersih dosa yang terlekat.

Paya Jaras
13 June 2013

Ayah (didedikasikan untuk Ayahku)

Aku masih teringat
Di waktu kecil bersekolah,
Tiap subuh
Emak tidak pernah jemu
Mengejut aku
(kerna aku cukup payah bangun pagi)
Gemersik suara emak
Mengejutkan
Bisa membuat
Lamunan aku
Berpanjangan.

Tapi,
Aku bingkas bangun
Segar dan terkejut
Dek sergahan suara ayah
Yang keras,
Cepat bangun!
Dah lewat!
Bentak ayah keras
Mengarah
Ah!
Aku benci ayah!

Tiap hari aku lalui
Ayah ketat mengatur
Bersalahan
Walau kecil
Bentak ayah
Menyinggah telinga
Tenungan mata ayah
Yang garang dan bengis
Menikam kejam
Bisa membuat
Tangis...
Ah!
Aku benci ayah!

Sekarang,
Aku menigkat remaja
Tidak lagi sekecil dahulu
Mudah diarah
Mudah dimarah
Mudah dibentak
Aku sudah pandai memberontak!
Ah!
Aku memang benci ayah!

Dan kini,
Aku menginjak dewasa
Mula faham
Kenal akan kehidupan
Aku lihat wajah tua ayah;
Tidak perlu mengira
Uban bertaburan
Tidak perlu mencari
Gigi yang kehilangan
Tidak perlu mengganti
Mata yang kaburan
Tidak perlu dilihat
Kulit yang kekenduran
Penyakit bersahabatan
Lain sekali renungan
Mata ayah
Kesayuan...
Tangan kasar yang dulu
Pernah singgah
Di pipi kananku
Kini lemah
Dilingkari urat kental
Bukti kehidupan yang dilalui
Untuk kami,
Anak ayah.

Tiap malam
Aku berpura
Tidur di perbaringan,
Terlihat ayah
Berulang kali
Keluar biliknya
Ke tandas berhajat
Ke ruang tamu munajat
Menatap wajah kami
Seorang ke seorang
Tidakkan disambung lenanya
Jika kami berkurangan
Akan setia dinanti
Anak kunci menyusul ke ruangan
Tiada amarah ditunjukkan
Cuma berpesan
Agar lekas lelap
Supaya tidak kesiangan.

Siapa lelaki ini?
Aku tidak kenali!
Ke mana pergi
Lelaki yang aku benci?!!

.... ayah telah meninggalkan dunia.

Tersentap,
Terkelu,
Terkaku,
Kenapa?

Terlihat aku
Mayat yang kekejangan,
Kafan yang membaluti,
Kemenyan yang menusuk,
Tangis yang bersahut,
Keranda yang diketuk,
Yasin dibacakan,
Talkin ingin dimulakan,
Berlinang air mata.
Melihat ayah di dalam lahad
Ditimbus!

Ayah!!

Sudah berapa lama tidak aku
Mengukir senyum dibibir ayah?
Sudah berapa lama tidak aku
Mengucupi tangan ayah?
Sudah berapa lama tidak aku
Memohon ampun pada ayah?

Ayah!!

Jangan pergi!
Jangan kaku begini!
Jangan bisu begini!
Jangan pergi begini!

Tersentak!
Aku buka kelopak mata
Ayah!
Astaga!
Hanya bermimpi
Kata ayah.

Subuh itu,
Aku lihat ayah
Keluar lagi
Seperti hari yang berlalu
Mencari rezeki
Walau usianya memagari
Walau kudratnya menyuliti
Ayah tahu
Dia tidak
Semuda dulu lagi
Tetap cekal melangkah
Mencari...
Untuk siapa?
Kami...
Demi siapa?
Kami...
Baru sekarang aku mengerti
Ayah...
Betapa aku sayangkan ayah.

Kampung Melayu Subang
13 Jun 2013

Selasa, 11 Jun 2013

Kegemaran : Iman Markisa






Tajuk buku : Iman Markisa
Pengarang : Aminah Mokhtar

 Buku pertama yang aku beli dengan duit yang ayah beri ketika aku membantunya sebagai tukang kebun. Walau bait-bait ayat yang digunakan pengarang amat sukar aku hadami ketika itu, namun aku gagahi jua menghabiskan pembacaan. Kisah tauladan. Kisah yang aku harap menjadi penguat semangat pada "saudara baharu". Tiap langkahan walau cuba diatur tak terjangkau jua dunia takdir yang mesti dilalui. Ilmu yang sarat, persoalan yang berputar, ranum harum susunan huruf. Hayati dan fahamilah karya ini walau agak payah untuk diteladani. Semoga mendapat manfaat dalam melihat cerminan jati diri.

Isnin, 10 Jun 2013

Tika Malang

Tika malang
Datang bertamu
Khabar gembira
Tak sempat singgah
Dihalau keluar
Sesaat jua
Renyuk
Hati yang pilu
Bagai tidak mahu
Seinci pun untuk dimengerti.
Tika malang
Datang bertamu
Khabar gembira
Tak sempat singgah
Dituba racun
Paling bisa
Sesaat jua
Bertimpa
Jiwa yang lara
Bagai tidak mahu
Seinci pun untuk diubati.
Tika malang
Berlalu semusim
Khabar gembira
Yang amarah
Tak mahu singgah
Merajuk diri
Meninggal jejak
Tak mahu pulang.
Yang tinggal berkesan
Walau tak terlihat
Terpandang sekali cuma
Mengerti
Tercampak kembali
Ke dunia sepi.
Paya Jaras
10 Jun 2013

Ahad, 9 Jun 2013

Oh Tuhan

Oh Tuhan,
Aku ingin berbisik pada-Mu
Malam ini,
Aku bersujud padamu
Ketika ini,
Tiada ku meminta
Selain dari-Mu
Selama ini,
Ku syukuri segala rahmat-Mu

Oh Tuhan,
Aku punya harapan.
Tiap jiwa yang kosong
Pasti ingin dipenuhi,
Tiap jiwa yang lara
Pasti ingin dimengerti,
Tiap jiwa yang sengsara
Pasti ingin disenangi.

Oh Tuhan,
Tiap insan perlukan teman.
Walau segagah mana pun,
Walau sehebat mana pun.
Begitu juga untuk
Insan sekerdil diriku

Tapi...
Aku tidaklah layak
Untuk wanita seikhlas
Siti Khadijah
Kerna aku tidak seagung
Muhammad
Aku tidaklah layak
Untuk wanita setulus
Siti Hajar
kerna aku tidak setaat
Ibrahim
Aku tidaklah layak
Untuk wanita sejelita
Zhulaika
Kerna aku tidak setampan
Yusuf
Aku tidaklah layak
Untuk wanita seindah
Balqis
Kerna aku tidak sekuasa
Sulaiman
Aku tidaklah layak
Untuk wanita setulus
Siti Fatimah
Kerna aku tidak setabah
Ali
Aku juga tidaklah layak
Untuk punya dua cahaya syurga
Kerna aku bukanlah sesiapa
Hanya si kerdil
Hamba sehina sahaya.

Oh Tuhan,
Kaulah Tuhan
Yang Maha Penyayang
Kerna...
Telah menganugerahkan
Wanita sebening
Siti Asiah
Untuk manusia sezalim
Firaun
Juga telah,
Menganugerahkan
Padaku seorang wanita
Pengisi kekosongan jiwaku
Peneman hidupku
Pengubat lukaku
Penghibur dukaku
Dialah isteriku.

Oh Tuhan,
Dalam kelam
Aku insafi diri
Sungguh agung Kekuasaan-Mu
Adil kerajaan-Mu
Untuk hamba sehina diriku
Walau diri ini
Tak sehebat Kekasih-Mu
Ku bermohon
Agar isteriku
Seteguh Arasy-Mu.

Terima kasih Tuhan
Atas segala rahmat-Mu
Tiada Tuhan
Selain diri-Mu
Tuhan sekalian alam.

Kampung Melayu Subang
10 Jun 2013

Sabtu, 8 Jun 2013

Keramat

Keramat itu
Menyinsing
Sepanjang zaman
Walau terasing
Jiwa dari badan
Tak terluntur
Walau berhujan
Tak terlekang
Walau berpanas
Kelak,
Walau tak teruji
Bakal menyusuli
Waris untuk
Dihayati.

Paya Jaras
08 Jun 2013

Kisah Cinta Agung

Rindu memeluk erat
Tubuh mulia itu
Di malam saksi
Penuh sakti
Merawat hati nan pilu
Menunda sedih di dalam kalbu.

Tingkat demi tingkat
Taraf demi taraf
Menuju kasih yang satu
Memujuk cinta yang satu
Hingga tak terjangkau
Yang mulia untuk ditemani
Bening rindu
Tak berbelah bahgi
Menyaksikan
Tubuh mulia itu
Menerima anugerah
Kekal sepanjang zaman.

Malam sedih penuh sayu
Ceria berombak takjub
Selaksa kasih
Yang dibentangkan
Dihiburkan
Dipertontonkan
Disaksikan
Diperintahkan.

Anugerah perintah
Diterima ceria
Kerna kasih dan sayang
Walau malu
Itu menebal
Dihadapi jua
Dikurangi
Apa yg diperbanyaki
Untuk mereka
Yang tidak mengenali.

Malam sakti berlalu pergi
Tinggal pagi untuk dihadapi
Menceritakan
Menyampaikan
Anugerah perintah
Walau cuba didustakan
Bukti perlakuan
Yang dibenarkan
Tak diterima sekelumit
Sang pendusta
Hingga bangkit
Sang membenarkan
Utuh setiakawan
Memegang erat
Perjanjian
Anugerah perintah
Dilaksanakan.

Kisah cinta agung
Sepanjang zaman
Mendahului sekian
Banyak aturan
Mengapa kita
Tidak mengambil tauladan?

Kampung Melayu Subang
08 Jun 2013

Rabu, 5 Jun 2013

Jauh Dan Dekat

Yang jauh
Kelihatan dekat
Yang dekat
Kelihatan jauh
Pandangan mata
Yang terserong
Jauh terperosok
Dekat tersorok.

Tapi
Sedekat mana
Sejauh mana
Tak tercapai tangan
Walau berhadapan.

Entahkan
Benar
Entahkan
Palsu
Berbalik jua ke asal
Sesudah waktu.

Paya Jaras
Sg Buloh
05 Jun 2013

Selasa, 4 Jun 2013

Tika Khayal

Tika khayal
Bergedung mewah
Nikmat cukup murah
Rakus meratah
Tak hirau apa dilapah
Deras suara mendesah
Memijak diri yang sampah.
Paya Jaras
04 Jun 2013

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis