Nuffnang

Penaja

Isnin, 29 Disember 2014

Mari Beradu

Gambar Hiasan

Suara katak berpanggilan
Rintik hujan kemeriahan
Esak tangis kesedapan
Hilai tawa kemurungan
Kau panggil aku
Aku panggil kamu
Meronta dalam sekam yang sama
Gong yang ditala
Dengki masih bernyawa
Dendam terus dinyala
Sekelumit membara
Terbakar taman seluruhnya.


Tinggalkan satu peluru
Untuk kepala kamu
Untuk jantung aku
Usah lagi tunggu
Pentas tersedia untuk beradu.

Kau panggang aku
Aku bakar kamu
Suara katak masih menjengkelkan
Rintik hujan kelebatan
Esak tangis kesudahan
Murung tawa berhilaian
Henti meronta
Sekam yang ada muat hanya
Aku atau kamu
Dibakar atau terbakar oleh isterimu.


Kau pandang aku
Aku pandang kamu
Usah dikenang lalu
Kuncup daun semalu
Tak sehebat kering hatiku!

Ayuh jangan ditunggu
Mari beradu!


Kampung Sungai Sekamat
29 December 2014


Sabtu, 8 November 2014

Penyundal Bahasa

Gambar Hiasan

Berapa ramai yang ku lihat
Bersilat lidah
Bertikam pena
Menegak kata
Hingga memutus niat murni
Mewangi taman bahasa kini
- Yang lama dengan sikap kantuknya
- Yang baharu dengan sikap dinginnya
Mengutuk sama mengata
Ada kisah berani
Ada kisah berahi
Ada kisah tiada kisah
Ada kisah tiada noktah
Demi melangsungkan seni
Menggadai sama
Nilai maruah bahasa.


Yang tuanya mendewata diri
Tegak bangun
Mundur maju
Di perosak bahasa sesuka bangsa
Sebelah mata pun tidak terdaya
Untuk mengukir kembali
Karya bernyawa bangsa
Yang dicabul bahasa
Yang diperkosa bahasa
Hingga tertanggal segala nilainya
Siapa mampu dipeduli semua?


Yang mudanya memulia sesama
Tegak bangun
Maju mundur
Sama bangga mencabul paksa
Bahasa nadi bangsa
Asal dipuja seisi buana
Karya yang diinjak kebodohan
Bermutu dipandang kawan
Apa ada pada nilainya berharga
Asalkan dapat memenuhi kuota
Isinya tiada masa.


Semakin lama dibiar
Semain lama dipuja
Yang hanyut
Dek kemasyuran lama
Terus sugul meratapi
Kemusnahan bahasa
Yang megah
Dek kegemilangan kini
Terus bangga
Menggoncang pohon bangsa
Hingga tak tersisa buah daunnya
Untuk dirasa selamanya.

Terdengar kini tangisan
Dari pusara Laksamana Hang Tuah
Melihat bangsa yang dipujanya kini
Menjadi sundal di kaki lima ketamadunan dunia!

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
07 November 2041


Isnin, 29 September 2014

Tak Mengapa

Gambar Hiasan
Tak mengapa
Walau lontaranku ini
Tak mengocak permukaan
Lesu dan lemah
Riak walau nampak terusik
Langsung tak menggeletar.


Tak mengapa
Walau lontaranku ini
Tenggelam lenyap ke dasar
Seperti yang lainnya
Sepi dan sunyi
Bersama membentuk terumbu
Melindung jua benih di situ.


Tak mengapa
Tatkala lontaranku sepi
Ketika tanah lembut
Merenyuk belulangku nanti
Sayu dan malu
Masih dipercaya
Akan sampai masa
Yang sunyi kini
Menggegar nanti.


Tak mengapa kini
Aku percaya nanti
Pucuk muda yang ku lindungi kini
Akan matang kemudian nanti
Dan dasar yang gelap sunyi
Tempat setiap lontaranku
Dipandang sepi
Yang menelan tenggelam lemah
Membentuk terumbu ilmu lesu
Di dasar tak berpenghuni
Akan dibongkar jua
Bersama yang lainnya
Oleh mereka yang matang nanti.


Dan kini aku mengalah
Tak mengapa
Untuk nanti aku memenangi
Tak mengapa.


Jalan Kenanga, Pudu
23 September 2014



Ahad, 24 Ogos 2014

Katakan

Gambar Hiasan

Katakan :
Yang kau pergi berlari,
Yang aku terus pergi,
Yang kamu tak berganti,
Yang kita jerumus sepi,
Ke mana letak nilai seni?
Ke mana lagi
Letaknya harga diri?

Katakan :
Yang jerit terus perit
Yang diam terus suram
Yang berantak terus berombak
Yang berselisih terus sisih
Ke mana letak nilai takdir?
Ke mana lagi
Letaknya maruah hakiki?

Walau di cuba
Membungkam suara samar
Yang tenggelam dek dendam
Masih lagi kelihatan
Riak-riak sanggah
Tak lepas.

Katakan
Ia dibiar teralir keluar
Tanpa berempang tapis
Mengurang arus amarahnya
Kelak yang termakan
Dakyah kegilaan ini
Terus sugul mengadap ilahi
Sambil mengepal
Rasa kesal.

Hingga ke penghujung cerekanya
Kelak di katakan
"Katakan :
Aku adalah aku
Kamu adalah kamu
Tiada lagi bertaut menjadi satu
Dalam mengejar tempat berbaringan
Paling empuk di hujung waktu!"

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
24 Ogos 2014

 

Sabtu, 5 Julai 2014

Bangkit Sekali, Jatuhnya Delapan Kali


Gambar Hiasan

Bangkit sekali
Jatuhnya delapan kali
Lukanya seinci
Pedihnya sedepa pergi
Pedih tak tertahan lagi
Putus asa untuk bankit kembali!

Bangkit sekali
Jatuhnya delapan kali
Perit tak terperi
Ingin sahaja dihabisi
Sabarlah kata hati
Tuhan hanya menguji
Pasti!
Kita mampu mendepani.

Bangkit sekali
Jatuhnya delapan kali
Baru sedar mengapa begini
Ada rakan sembunyi diri
Niat menyingkir aku kini
Demi nafsunya sendiri
Menyembelih aku tanda membalas budi.

Bangkit sekali
Jatuhnya delapan kali
Aku akan kembali berdiri
Demi anak dan isteri
Ku gagahkan sanubari
Ku goncangkan kehendak diri
Yang aku mampu untuk berdikari!

Bangkit sekali
Jatuhnya delapan kali
Aku rindukan kecewa ini
Makin aku bangkit diri
Makin aku jatuh lagi
Sehingga aku kenal erti
Untuk menghargai.

Bangkit sekali
Jatuhnya delapan kali
Dan sekarang kau perit sendiri
Baru tahu kemampuan tak seberapa ini
Akan tiba waktu untuk kami
Mencecah jari
Melumatkan mu terus ke bumi!

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
05 Julai 2014



Selasa, 24 Jun 2014

Manusia Kini

Gambar Hiasan

Berdiri manusia kini
Pada tika ini,
Maju pada erti
Mundur pada diri
Ingin lihat bukti?
Lihat sahaja kesan tapak kaki
Compang berdarah kanan dan kiri
Yang lama berdiri
Telah lama jua tersembam ke bumi
Tiada terpasak hingga kini
Kerana manusia ini
Pasti,
Sangat pasti!
Dijahanamkan oleh angan sendiri!

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
22 Jun 2014




Khamis, 12 Jun 2014

Sampai Bila?


Apabila membelit si kapitalis
Jerung ternganga menelan bilis
Menjahanamkan mimpi anak waris
Si tirani buncit tak kempis
Asalkan dapat wang dipilis
Melaut rakyat biarkan mengemis
Si anjing biar mengotor tangan menepis!

Bukan tak mahu maju mendatang
Kubur ayah bonda dibongkar senang
Sulur galur yang berdekad bertunjang
Hutang yang telah keliling pinggang
Tegak bangun mudahnya tumbang
Untuk apa di dalam kontang di luar buntang
Bukankah yang arif masih bersidang?

Inilah permainan yang menguasa
Hanya kita bodoh diperdaya
Mainan untuk memuas haloba
Yang di atas sibuk mengira-mengira
Yang di tengah tersengih mengada-ngada
Yang di kiri kanan berlagak menunjuk kuasa
Yang dibawah bila lagi mahu bangkit dari lena?
Dibiarkan si penyamun berkolar menyapu segala?
Hingga akar bangsa tersia-sia sahaja?

Si kapitalis dibangsat selamanya,
Si tirani dinobat selamanya,
Si anjing diselamat selamanya,
Kita dipelumat selamanya,
Sampai bila?

Tasik Damai
Sungai Besi
12 Jun 2014
 

Jumaat, 6 Jun 2014

Duit Dan Sakit

Gambar Hiasan

Bicara tentang duit dan sakit
Ya sedikit mengundang perit
Perit yang sedikit membusar sempit
Sempit menyantak ke ruang yang sedikit
Kerana duit terasa sakit
Yang tak mampu untuk dijerit.

Bicara tentang duit dan sakit
Ya banyak mengundang perit
Perit yang sedikit membusung lengit
Lengit mengheret ke ruang yang terjerit
Kerana duit merasa sakit
Yang tak mampu untuk dibangkit.

Bicara tentang duit dan sakit
Ya hingga kiamat menggigit
Peritnya walau dijerit
Payah untuk bangkit
Untuk dilangkaunya sedikit
Payah bicaranya walau mendecit.

Apa ditinggal untuk cucu cicit?
Hanyalah penyakit
Berpunca dari secubit
Duit!

Tasik Damai
Sungai Besi

06 Jun 2014

 

Isnin, 2 Jun 2014

Di Persada Tanpa Suara

Gambar Hiasan

Baru atau lama,
Tua mahu muda,
Usia hanya angka
Hemah penunjuk segala
Aku tidak mungkin kau suka
Kau tidak mungkin aku duka
Itu bicaranya
Kau manusia
Aku apa?
Kami apa?
Mereka siapa?
Terkongkong cuma
Oleh dunia
Hanya fana
Sia-sia
Menanti dibongkar segala
Hitam putih jiwa
Di persada tanpa suara
Bisu bicara
Bersuara semua anggota.

Tasik Damai
Sungai Besi
02 Jun 2014

Selasa, 27 Mei 2014

Jangan Dicari

 
Gambar Hiasan
 
Jika hilangnya jarum,
Jangan dicari kapak
Buat memotong kain.

Jika hilangnya harta,
Jangan dicari tanah
Buat mengambus diri.
 
Jika hilangnya kawan,
Jangan dicari lawan
Buat beradu kelahi.
 
Jika hilangnya diri,
Jangan dicari racun
Buat tuba yang lain.
 
Jika hilang makna hidup
Sebagai manusia,
Jangan dicari alasan
Buat-buat menjadi hewan!
 
Jika hilang yang satu
Ingatlah
Jangan dicari yang hilang,
Hargai apa yang masih di sisi
Kerana
Yang berlalu pergi
Perlu
Untuk menggerakkan kita
Terus menerus
Dari selingkuh
Kemalasan selamanya!
 
Tasik Damai
Sungai Besi
27 Mei 2014
 
 

Jumaat, 16 Mei 2014

Hentikan, Suara Baharu Itu!

Gambar Hiasan
 
Entahkan mengapa
Dalam enak dengkur
Diulit suara-suara lama,
Yang tegar dengan alunannya
Yang setia dengan lengguk gayanya
Yang kukuh dengan jati dirinya
Mulai diganggu gugat
Konon arus perdana
Perlu dirombak
Untuk selari mengalirnya
Dengan jiwa baharu kini
Yang masih hijau tohor
Bualannya entah berkiblat apa
Mainannya entah berjiwa apa.

Telah diselusuri
Bait-bait
Puisi bebas
Dari suara baharu
Yang membentak
Yang kecewa
Yang mahu mengikut rentaknya
Yang mahu mengubah dunia!
Tetapi,
Tidak terjumpa inti patinya
Ada..
Tapi terkesannya
Hanya ghairah senyawa sahaja!
 
Apa yang ingin ditegaskan?
Apa yang ingin digegarkan?
Pohon-pohon pemikiran
Yang baharu setahun disemai
 Itu pun tak dibaja
Itu pun tak dipangkas
Ingin merendang sekelip mata?

Ada juga
Yang kerasnya bersuara
Lintang pukang aturan nahunya
Tunggang terbalik tonjol kemahuannya
Berderas ke puncak
Tapi terjun jua
Tak berani menggapai bayu
Tak tahu menyampai apa yang tahu.

Parau suara
Dalam mendendang suara
Kemabukan isi dunia
Apa yang ingin
Diajarkan
Kelihatannya samar
Berbungkus persoalan.

Bukan tidak mahu
Melihat semarak bahasa
Dari pewaris bangsa
Namun,
Melihatkan nakhoda baharu
Yang terumbang ambing
Mengemudi perahu
Getan hatinya mahu juga
Disuarakan
Walau tahu hati anak muda
Yang pantas mendidih
Tak bersoal
Pasti mengeruh suasana
Yang tiada terlihat
Kedamaiannya kini.
 
Bukan membantah,
Bukan membenci,
Suara anak muda ;
Genarasi baharu
Yang hijau akal melihat dunia
Mereka diperlukan juga
Menyambung hikayat lama
Tersusun teratur
Dari rentak pertama dibunyikan
Tetapi
Perlu dipimpinkan
Ke mana arah tujunya.
 
Sedang sekarang mereka
Telah sesat di kotak suara
Pemikiran terbina dari tembok kejahilan
Pendengaran disumbat dari menerima kritikan
Adakah nanti akan
Kukuhnya bangsa dan bahasa
Atau terhakis runtuhnya
Setelah yang lama
Tua dari zamannya
Kembali menyerahkan warisan
Seperti warga sebelumnya?
 
Tak membenci,
Cuma ingin melihat
- Kebodohan demi keghairahan senyawa sementara
- Kejelekkan demi salakan tak bermakna selamanya
- Kebobrokan demi aturan tak memaknakan segalanya
Dihentikan
Bukan diperjuangkan!

Tasik Damai
Sungai Besi
16 Mei 2014


Selasa, 13 Mei 2014

Kisah Bergolak

 
Kisah bergolak
Yang ditampung-tampung
Akhirnya pecah tak tertanggung
Kisah yang sunyi sebelum
Ditempel onar
Kisah musuh
Kononnya bergolaknya sana
Tak goyah sedikit pun di sini.

Namun,
Walau cuba ditahani
Akhirnya
Mengalir jua
Air mata
Derai jua 
Hilai tawa
Menung jua
Wajah hamba.
 
Siapa yang menang
Belum tentu bergadai
Siapa yang kalah
Belum tentu bersorak.
 
Keruh yang cuba dijernihkan
Walau dihantar jeneral perang sekalipun
Belum tentu dingin kembali
Panas yang meruah.
 
Pengajaran untuk semua
Jangan sesekali
Bermain di ungun api
Entah padamnya api
Mati kesejukan
Entah menyambarnya api
Mati kepanasan.
 
Tasik Damai
Sungai Besi
 
13 Mei 2014
 
 

Sabtu, 10 Mei 2014

Masihkah Kau Ingat?

Gambar Hiasan
 
Masihkah kau ingat
Anak?
Sedari lahirmu teriak yang pertama
Runtun hati ibu
Gembira.
 
Nyawa yang dicagar
Demi satu insan berpeluang
Bersua dunia
Menghirup semahu
Nikmat yang terisi di dalamnya.
 
Masihkah kau ingat
Anak?
 Tatih langkahmu laju yang pertama
Senyum wajah ibu
Gembira.
 
Rehat yang ditangguh
Demi satu insan berpeluang
Pelajari dunia
Meneroka semahu
 Makna yang terisi di dalamnya.

Masihkah kau ingat
Anak?
Berjaya pelajaranmu yang pertama
Bangga wajah ibu
Gembira.

Masa yang dikorban
Demi satu insan berkebolehan
Faham dunia
Mempelajari semahu
Sukar yang terisi di dalamnya.

Masihkah kau ingat
Anak?
Jatuh hidupmu yang pertama
Pujuk wajah ibu
Sayu.

Hidup yang ditaruhkan
Demi satu insan bermula semula
Kebah dunia
Membangkit semahu
Gagal yang terisi didalamnya.

Masihkah kau ingat
Anak?
Tika mana hidupmu
Satu persatu
Gugur detik masanya
Sepanjang hidupmu
Siapa dibelakangmu?

Sedari suka
Hingga ke duka,
Sedari payah
Hingga ke senang,
Sedari gagal
Hingga ke jaya,
Sekuntum budi yang kau balas
Atau
Segunung hina yang kau berikan?

Masihkah kau ingat
Anak?

Tasik Damai
Sungai Besi

10 Mei 2014


Berkubang Selut

Gambar Hiasan
 
Sebelum melompat
Berkubang selut
Selidiki sebaiknya
Yang mana lopak,
Yang mana jerlus,
Kerana
Sesudah berkeras lumpur,
Sesudah berlembut pasir,
Mana yang jernih
Walau disaring,
Walau dituras,
Tak akan luput keruhnya
Dengan segala upaya.
 
Di situ lopak,
Di sini pasir.
Di mana selut?
Di mana mengalir?

Tiap tindak berbalas tindak
Tiap ragu berbalas ragu
Dan pada
Tiap dendam pasti
berbalas dendam jua.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
10 Mei 2014


Khamis, 8 Mei 2014

Bahasa Monyet

Gambar Hiasan
 
Rakyat berbilang
Di bawah melaut
Meneriak-riak
Dilumat hempap sepadatnya
Menghimpit terkepit
Penguasa rakus
Yang tak pernah surut
Walau memboyot saku
Walau membuncit perut
Menyita sewenang nafsunya
Tak kira warga mana
Semahu seperti telah
Sebati perangai puaka
Yang menggila!

Walau telah dimunculkan
Wajah-wajah
Amarah warga nusa
Menggertak dengan gerak rentak
Cuba membendung
Tangan-tangan pengkau penguasa
Yang merenyah sedekad lamanya
Membentak rasa yang terkurung
Beratus tahun lamanya
Warisan asuhan persetan
Yang datang menyesatkan.
 
Walau telah ditunjukkan
Suara-suara
Parau resah isi warga
Mengherdik hina dengan segala cacian
Cuba memberi amaran
 Penyeluk-penyeluk saku rakyat
Yang diugut sedekad lamanya
Memprotes cara yang mengurung
Beratus tahun lamanya
Pusaka didikan penyangak
Yang datang memugalkan.

Entah mengapa
Tiada malukah
Tiada fahamkah
Dengan bicara
Dengan tingkah
Yang diperdengarkan
Yang dipertontonkan
Bagai berbicara bersama unggas
Bagai mengajar lagak manusia kepada kera
Atau setelah lamanya
Di puncak kuasa
Tidak lagi memahami
Pedih jerih
Rakyat yang dipijak
Tak diambil peduli
Susah payah terbanyak melata.
 
Atau mungkin
Setelah segala yang ditunjukkan
Rakyat terbanyak
Setelah segala yang dibicarakan
Rakyat marhaen
Tak didengar
Tak difaham
Telah sampai masa
Berbicara dengan bicara kera
Mengatakan dengan bahasa monyet
Kerana lakunya penguasa
Yang langsung tak menunjukkan
Faham dan tahunya
Siapa penguasa
Siapa dikuasa
Siapa punya kuasa!

Tasik Damai
08 Mei 2014


Selasa, 25 Mac 2014

Damailah, Redhalah


Setelah derai tangis
Yang tak kunjung hilang
Dalam menanti
Dari awal hingga ke detik penentuan
Setiap deru berita
Yang mendatang jengah
Singgah ke telinga
Benar dan palsu
Degup jantung yang seketika
Kencang,
Tenang,
Terhenti,
Dan
Kencang semula
Tak terkeluar bicara
Terkunci rasa
Terkurung suasana
Pilu sedih
Yang tak terbicara.

Semua bernyawa
Sama merasa
Hilang yang sama dicari
Jumpa yang sama digali
Walau ramai yang meragui
Kesamarataan keajaiban
Di penghujung mimpi awal realiti.
 
Menanti keajaiban
Yang telah semakin lama
Semakin malap sinarnya
Pasrahlah
Untuk mereka
Yang masih bersama
Memberi kenangan indah
Membawa pahit pengalaman
Tetap jua akan pergi
Walau duduknya
Hanya sejengkal jauh dari kita.

Percayalah,
Setiap hela nafas yang merintih
Dalam kepasrahan
Merelakan ia
Damai
Di sisi tuhan
Walau basah kesejukan
Jauh di dalam kegelapan
Di sebalik terumbu dan pasir lautan
Ia ditelan
Tanpa sempat mengucapkan
Selamat tinggal
Tetap ia berada
Dalam pelukan
Kasih tuhan
Yang lebih bermanfaat
Dari degup yang ingin dikembalikan.

Pasrahlah,
Kenangan dan pengalaman
Dalam tawa keriangan lepas
Melilitkan kita sama
Dalam rasa sedih hilangnya
Tak mungkin bergantian.

Damailah,
Sesudah kering
Lautan duka ini
Walau tahu tak semudah itu datangnya
Tenang memilu
Kenangan dan pengalaman lepas
Tetap utuh bersepadu
Menanti akan dituruti jua
Suatu masa
Akan diberi sempat
Untuk dipertemu.

Yakinlah,
Kita bersama
Walau berlainan rasa pahitnya
Untuk merelakan
Ia berlalu...
Redhalah,
Dengan ketentuan
Yang Memiliki Segala Upaya dan Kuasa.
 
Yakinlah,
Kita bersama
Walau berlainan akal bicaranya
Untuk merelakan
Ia pergi...
Damailah,
Dengan ketenangan
Yang Memiliki Segala Kasih dan Penyayang.
 
Kampung Sungai Sekamat
Kajang
24 Mac 2014
 
 

Rabu, 12 Mac 2014

Kami Masih Percaya

(Didedikasikan khas kepada seluruh warga yang merasa sama sedih dan sama berusaha)
 
 
Hei kiri!
Hei kanan!
Belakang depan!
Diseru lagak tempur
 Dijolok hingga menggelupur
Mencolok mata memandang
Tak terpancar kata-kata penenang.

Masih ada lagi
Apa yang ingin dikhabarkan ini
Sewajibnya
Dibanting hilang terus
Selayaknya unggas dan mawas jua
Bersama meneman
Hidup mati bersama
Bicaranya lagak keangungan
Isinya padat mabuk kebingungan!

Hei kiri!
Hei kanan!
Belakang depan!
Diseru lagak tempur
 Dijolok mata meneropong
Dipasang bubu tegak kutu
Tak tersanggup bicara pedoman.
 
Ia masih menggagahi
Sekuat tiang tersusuk dalam
Tak tergugat sedikit percaya iman
Walau jelas perbuatan
Melampau dari adanya batasan
Itu pun masih ada lagi
Yang betul percaya
Yang percaya pada kebodohan
Dapat merungkai
Kehilangan
Menggalas tanggungan
Yang terpikul selayaknya
Pada hak dan hakikinya.
  
Hei kiri!
Hei kanan!
Belakang depan!
Diseru lagak tempur
Dibentang sekerat tikar
Menurun ilmu hikayat
Disulam ayat penguat
Masih percaya
Yang di langit boleh didarat
Yang dilaut boleh diangkat
Memintas segala yang hikmat
Mengalahkan kuasa yang Maha Hebat!
 
Masih percaya
Wujudnya perlu berdasar hikayat
Penyelamat walau datang kiamat
Tak sedar sendiri perlu diselamat.
 
 Ada yang tertawa cermat
Ada yang tersengih kelat
Tak dihairan lihat segala gelagat
Kami hanya menanti hentaman menyengat
Dari pembisu pemakan duit rakyat
Bicara yang perlu menghentikan khianat
Bukan membiak atur segala penjahat berniat!

Kasihankanlah
Yang menanti tak tiba
Yang menunggu tak jumpa
Yang menanya tak tahu bicara
Yang melihat pedih merasa
Yang berusaha letih terus berusaha
Harapan yang tidak mahu disia-sia.
 
Hantarkanlah pulang sahaja
Yang menurun dari pagi hingga ke senja
Lagak lembu tak berkepala
Manusia yang tak tahu apa untuk dikata
Duduk letaknya
Iman dan percaya!
 
Kami masih percaya
Walau pedih sama berbicara
Ketentuan yang Maha Kuasa
Kami masih setia
Menanti mendoakan bersama
Kepada yang Maha Esa
Dan sesungguhnya,
Bukan kami tak percaya
Pada letih dan segala usaha
Yang dicurahkan sepenuh daya
Oleh kau yang dilihat bagai si gila ;
- Yang meneropong bubu di atas kepala
 - Yang mengensot payung bersama kelapa
- Yang ditengah membawa bakul bersama
Kami berterima kasih juga
Kerana menghidupkan suasana ceria
Dengan usaha yang tak ternilai untuk dikata-kata!
 
Cepatlah halaukan
Si penyumbang
Yang memalukan
Bukan sahaja negara
 Tetapi
Keluhuran agama!
 
Tasik Damai
Sungai Besi
12 Mac 2014
 
 

Ahad, 9 Mac 2014

Ringankan


Gegar berita berdarah tak tumpah
Gegar berita tangis tak alir;
Dari ceruk yang menjerit
Dari kecewa yang membukit
Dari sunyi yang membingit
Dari elak yang mendikit.

Tak diberitahu disorokkan apa?
Tak dikisah disembunyikan apa?
Tak diakui dighaibkan apa?
Yang berkumpul resah
Yang terkumpul renyah.

Diumpan soal;
Tak disambar
Diasak tanya;
Tak diendah.
Yang melihat jerih sama
Yang merasa pedih tak terkata.

Ringankan beban
Walau tak mahu peduli
Walau tak mahu merasai
Untuk yang merasa
Untuk yang melihat
Untuk yang benar-benar faham erti
Kekusutan ini leraikan bukan disimpul mati.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
09 Mac 2014

Jumaat, 7 Mac 2014

Umpama Sakti


Umpama sakti

Kisah dongeng di alam realiti
Melatanya bermula hanya imaginasi
Gembar-bemburnya dahulu cuba disembunyi
Dan kini,
Bermula segala aksi
Yang tak mungkin diterima khalayak kini
Demi kemaslahatan yang abadi
Hingga terlupa bocornya akal mati
Tak selamanya mampu dipagari
Makna hidup yang bukan untuk buta membabi!

Tasik Damai
Sungai Besi
07 Mac 2014



Tujuh Kali!




Bangkit tujuh kali
Jatuhnya delapan kali
Biar melilau mata kami
Berpusing putih tidak sekali
Gugurnya tak sempat berisi
Demi segugus jasa termateri.

Bangkit tujuh kali
Jatuhnya delapan kali
Demi siapa tak dipeduli
Hati yang hitam kotor ini
Behabis upaya cuba disuci
Gagal hanya kerana penakut sembunyi.

Entah kenapa
Mengapa
Sama sahaja
Walau ia
Jatuhnya berkali-kali
Kocak hati yang tak siap menyelami
Serak sedih suara cuba disembunyi
Dari rasa tak mahu dipencil lagi
Permainan pengiblis kecil yang dibeli
Senaknya memusar jauh memusat
Sudut paling tak dirai.

Tujuh kali bangkit
Delapan kali terjerit
(menjerit)
Melunas dendam yang tak sudah
Menyanyuk kusut tak kebah
Walau dirasa
Ingin diduga
Tiada rasa
Tiada masa!

Dipengakhiran kali
(yang belum tentu lagi)
Bangkit dan sungkur
Segala punca menuding sama
Segala cara mematah punca
Segala harap merebut cara.

Adakah kita
Kekal untuk bersama
Terceruk di sudut alpa
Atau
Terceruk merengkok
Demi sama rata
Yang dicabul rela
Yang dimandul mesra!

Tasik Damai
Sungai Besi
07 Mac 2014


Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis