Nuffnang

Penaja

Selasa, 27 Mei 2014

Jangan Dicari

 
Gambar Hiasan
 
Jika hilangnya jarum,
Jangan dicari kapak
Buat memotong kain.

Jika hilangnya harta,
Jangan dicari tanah
Buat mengambus diri.
 
Jika hilangnya kawan,
Jangan dicari lawan
Buat beradu kelahi.
 
Jika hilangnya diri,
Jangan dicari racun
Buat tuba yang lain.
 
Jika hilang makna hidup
Sebagai manusia,
Jangan dicari alasan
Buat-buat menjadi hewan!
 
Jika hilang yang satu
Ingatlah
Jangan dicari yang hilang,
Hargai apa yang masih di sisi
Kerana
Yang berlalu pergi
Perlu
Untuk menggerakkan kita
Terus menerus
Dari selingkuh
Kemalasan selamanya!
 
Tasik Damai
Sungai Besi
27 Mei 2014
 
 

Jumaat, 16 Mei 2014

Hentikan, Suara Baharu Itu!

Gambar Hiasan
 
Entahkan mengapa
Dalam enak dengkur
Diulit suara-suara lama,
Yang tegar dengan alunannya
Yang setia dengan lengguk gayanya
Yang kukuh dengan jati dirinya
Mulai diganggu gugat
Konon arus perdana
Perlu dirombak
Untuk selari mengalirnya
Dengan jiwa baharu kini
Yang masih hijau tohor
Bualannya entah berkiblat apa
Mainannya entah berjiwa apa.

Telah diselusuri
Bait-bait
Puisi bebas
Dari suara baharu
Yang membentak
Yang kecewa
Yang mahu mengikut rentaknya
Yang mahu mengubah dunia!
Tetapi,
Tidak terjumpa inti patinya
Ada..
Tapi terkesannya
Hanya ghairah senyawa sahaja!
 
Apa yang ingin ditegaskan?
Apa yang ingin digegarkan?
Pohon-pohon pemikiran
Yang baharu setahun disemai
 Itu pun tak dibaja
Itu pun tak dipangkas
Ingin merendang sekelip mata?

Ada juga
Yang kerasnya bersuara
Lintang pukang aturan nahunya
Tunggang terbalik tonjol kemahuannya
Berderas ke puncak
Tapi terjun jua
Tak berani menggapai bayu
Tak tahu menyampai apa yang tahu.

Parau suara
Dalam mendendang suara
Kemabukan isi dunia
Apa yang ingin
Diajarkan
Kelihatannya samar
Berbungkus persoalan.

Bukan tidak mahu
Melihat semarak bahasa
Dari pewaris bangsa
Namun,
Melihatkan nakhoda baharu
Yang terumbang ambing
Mengemudi perahu
Getan hatinya mahu juga
Disuarakan
Walau tahu hati anak muda
Yang pantas mendidih
Tak bersoal
Pasti mengeruh suasana
Yang tiada terlihat
Kedamaiannya kini.
 
Bukan membantah,
Bukan membenci,
Suara anak muda ;
Genarasi baharu
Yang hijau akal melihat dunia
Mereka diperlukan juga
Menyambung hikayat lama
Tersusun teratur
Dari rentak pertama dibunyikan
Tetapi
Perlu dipimpinkan
Ke mana arah tujunya.
 
Sedang sekarang mereka
Telah sesat di kotak suara
Pemikiran terbina dari tembok kejahilan
Pendengaran disumbat dari menerima kritikan
Adakah nanti akan
Kukuhnya bangsa dan bahasa
Atau terhakis runtuhnya
Setelah yang lama
Tua dari zamannya
Kembali menyerahkan warisan
Seperti warga sebelumnya?
 
Tak membenci,
Cuma ingin melihat
- Kebodohan demi keghairahan senyawa sementara
- Kejelekkan demi salakan tak bermakna selamanya
- Kebobrokan demi aturan tak memaknakan segalanya
Dihentikan
Bukan diperjuangkan!

Tasik Damai
Sungai Besi
16 Mei 2014


Selasa, 13 Mei 2014

Kisah Bergolak

 
Kisah bergolak
Yang ditampung-tampung
Akhirnya pecah tak tertanggung
Kisah yang sunyi sebelum
Ditempel onar
Kisah musuh
Kononnya bergolaknya sana
Tak goyah sedikit pun di sini.

Namun,
Walau cuba ditahani
Akhirnya
Mengalir jua
Air mata
Derai jua 
Hilai tawa
Menung jua
Wajah hamba.
 
Siapa yang menang
Belum tentu bergadai
Siapa yang kalah
Belum tentu bersorak.
 
Keruh yang cuba dijernihkan
Walau dihantar jeneral perang sekalipun
Belum tentu dingin kembali
Panas yang meruah.
 
Pengajaran untuk semua
Jangan sesekali
Bermain di ungun api
Entah padamnya api
Mati kesejukan
Entah menyambarnya api
Mati kepanasan.
 
Tasik Damai
Sungai Besi
 
13 Mei 2014
 
 

Sabtu, 10 Mei 2014

Masihkah Kau Ingat?

Gambar Hiasan
 
Masihkah kau ingat
Anak?
Sedari lahirmu teriak yang pertama
Runtun hati ibu
Gembira.
 
Nyawa yang dicagar
Demi satu insan berpeluang
Bersua dunia
Menghirup semahu
Nikmat yang terisi di dalamnya.
 
Masihkah kau ingat
Anak?
 Tatih langkahmu laju yang pertama
Senyum wajah ibu
Gembira.
 
Rehat yang ditangguh
Demi satu insan berpeluang
Pelajari dunia
Meneroka semahu
 Makna yang terisi di dalamnya.

Masihkah kau ingat
Anak?
Berjaya pelajaranmu yang pertama
Bangga wajah ibu
Gembira.

Masa yang dikorban
Demi satu insan berkebolehan
Faham dunia
Mempelajari semahu
Sukar yang terisi di dalamnya.

Masihkah kau ingat
Anak?
Jatuh hidupmu yang pertama
Pujuk wajah ibu
Sayu.

Hidup yang ditaruhkan
Demi satu insan bermula semula
Kebah dunia
Membangkit semahu
Gagal yang terisi didalamnya.

Masihkah kau ingat
Anak?
Tika mana hidupmu
Satu persatu
Gugur detik masanya
Sepanjang hidupmu
Siapa dibelakangmu?

Sedari suka
Hingga ke duka,
Sedari payah
Hingga ke senang,
Sedari gagal
Hingga ke jaya,
Sekuntum budi yang kau balas
Atau
Segunung hina yang kau berikan?

Masihkah kau ingat
Anak?

Tasik Damai
Sungai Besi

10 Mei 2014


Berkubang Selut

Gambar Hiasan
 
Sebelum melompat
Berkubang selut
Selidiki sebaiknya
Yang mana lopak,
Yang mana jerlus,
Kerana
Sesudah berkeras lumpur,
Sesudah berlembut pasir,
Mana yang jernih
Walau disaring,
Walau dituras,
Tak akan luput keruhnya
Dengan segala upaya.
 
Di situ lopak,
Di sini pasir.
Di mana selut?
Di mana mengalir?

Tiap tindak berbalas tindak
Tiap ragu berbalas ragu
Dan pada
Tiap dendam pasti
berbalas dendam jua.

Kampung Sungai Sekamat
Kajang
10 Mei 2014


Khamis, 8 Mei 2014

Bahasa Monyet

Gambar Hiasan
 
Rakyat berbilang
Di bawah melaut
Meneriak-riak
Dilumat hempap sepadatnya
Menghimpit terkepit
Penguasa rakus
Yang tak pernah surut
Walau memboyot saku
Walau membuncit perut
Menyita sewenang nafsunya
Tak kira warga mana
Semahu seperti telah
Sebati perangai puaka
Yang menggila!

Walau telah dimunculkan
Wajah-wajah
Amarah warga nusa
Menggertak dengan gerak rentak
Cuba membendung
Tangan-tangan pengkau penguasa
Yang merenyah sedekad lamanya
Membentak rasa yang terkurung
Beratus tahun lamanya
Warisan asuhan persetan
Yang datang menyesatkan.
 
Walau telah ditunjukkan
Suara-suara
Parau resah isi warga
Mengherdik hina dengan segala cacian
Cuba memberi amaran
 Penyeluk-penyeluk saku rakyat
Yang diugut sedekad lamanya
Memprotes cara yang mengurung
Beratus tahun lamanya
Pusaka didikan penyangak
Yang datang memugalkan.

Entah mengapa
Tiada malukah
Tiada fahamkah
Dengan bicara
Dengan tingkah
Yang diperdengarkan
Yang dipertontonkan
Bagai berbicara bersama unggas
Bagai mengajar lagak manusia kepada kera
Atau setelah lamanya
Di puncak kuasa
Tidak lagi memahami
Pedih jerih
Rakyat yang dipijak
Tak diambil peduli
Susah payah terbanyak melata.
 
Atau mungkin
Setelah segala yang ditunjukkan
Rakyat terbanyak
Setelah segala yang dibicarakan
Rakyat marhaen
Tak didengar
Tak difaham
Telah sampai masa
Berbicara dengan bicara kera
Mengatakan dengan bahasa monyet
Kerana lakunya penguasa
Yang langsung tak menunjukkan
Faham dan tahunya
Siapa penguasa
Siapa dikuasa
Siapa punya kuasa!

Tasik Damai
08 Mei 2014


Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis