Nuffnang

Penaja

Jumaat, 30 Ogos 2013

Si Anak Kaya, Si Anak Miskin



Untung si anak kaya
Mencelik mata
Makan pakai
Telah pun tersedia
Jejak ke tanah
Tak pernah
Gayut gantung
Lagikan pula
Nikmat hanya
Di hujung lidah
Melempar luah
Hanya kerana kurang enak.

Untung si anak miskin pula
Riak subuh baru
Merangkak
Keringat tak putus
Membasah
Mencari untuk sesuap
Menyediakan
Tak tersedia
Berkubang di tengah selut
Capal yang dipakai
Tipis hingga menghiris kulitnya
Nikmat yang tak sempat
Ke perut
Menghulur kongsi
Untuk menyambung
Kenyang ahlinya.

Untung si anak kaya
Mudahnya menumpang
Tak perlukan usaha
Gunakan nama
Ketar lutut orang
Mendengarnya
Menjarak rajin
Mentalak usaha
Yang pasti
Segala yang dilantak
Ramai yang dipijak.

Untung si anak miskin pula
Biarlah bergunung
Usaha yang kau dirikan
Rajin yang kau turutkan
Hidup hanya
Menjadi perkakas
Alas kaki si anak kaya
Tak perlu banyak
Bersuara
Mengulas untung rugi
Menjadi manusia.

Dunia...
Dunia...
Kaya mu hanya sementara
Miskin mu juga hanya sementara
Usahlah gusar dengan
Sandiwara dunia
Mati nanti
Mata siapa yang tak terpejam.

Kampung Melayu Subang
30 Ogos 2013


Buta Bermata




" Ibu,
Kenapa manusia itu
Berlanggar tunggang
Duduknya langgang
Tak penah cukup
Segala senang?"
Tanya si burung kecil
Kepada si ibu tua.

"Anak,
Manusia itu hanya berakal
Berhatinya tidak,
Terang penglihatan
Buta pencerahan,
Bodoh pengetahuan
Sombong pertanyaan."
Asyik si ibu tua
Menerang perihal
Mengepakkan sayap
Merapat badan
Menenang
Getar soal si anak
Yang dalam pencarian.

"Tapi ibu,
Bukankah tuhan telah menjadikan
Mereka sebaiknya
Makhluk yang dianugerahkan
Dengan segala nikmat?
Mengapa
Masing-masing 
Pantas hilang kewarasan
Masing-masing
Pantas hilang pertimbangan?"
Berontak si anak
Menanti jawapan.

"Anak,
Walau manusia
Sama hitam rambutnya
Getar hati berlainan jua
Punya hasrat
Punya muafakat
Berbeda selainnya
Lihatlah rakan sejenismu
Yang lain telah pandai terbang
Meninggalkan sarang
Menerus kehidupan
Tetapi dirimu
Tetap tak mahu mengepak sayap
Berlindung di sebalik
Retak kulitmu
Tiada satu pun
Yang dapat menganggu.''

" Hidup ini,
Walau jalannya berliku
Takdir yang selalu mengejar
Tetap perlu diteruskan
Tersia dangkal
Untuk mentautkan
Segala perasaan yang
Menghalang
Kerana sesal itu
Langkah tak mungkin
Sama beriringan.''

Anak burung
Menghela sesal
Fahami
Maksud ibunya
Dalam kehidupan
Yang selesa
Perlu diusahakan
Keluar
Dari segala soal
Hanya perlu
Meneruskan
Hingga tiba saat
Yang dijanjikan
Melihat dunia dengan mata
Menyaksikan segala
Jangan menafsir sesuka
Kelak mata itu
Tidak akan
Terus buta.

Kampung Melayu Subang
30 Ogos 2013


Khamis, 29 Ogos 2013

Mengapa?



Sedang kita
Perang sengketa
Pasti ada
Si penambah rasa
Mengadu domba
Mentaut kecewa
Menggagal usaha
Mengapa?
Walau sedang asyik
Kita bercinta
Datang ia
Menggugat rahsia
Mencungkil duka
Untuk meleraikan
Bahgia
Dendam kesumatnya
Luntur tiada
Mengapa?

Acap kali ia
Datang merangguk
Mendatang kacau
Menggoncang kalbu
Berkecamuk jiwa
Mengapa?
Tengkar yang telah
Lama reda
Membangkit semula
Api pertelingkah
Yang usaha dipadam
Berabad lama
Menjulang menghangus segala
Mengapa?

Jangan nanti
Ketika takdir
Berdikari
Habis diamuk
Seluruh buana ini!
Tiada lagi
Berbelas kasih
Melunas darah
Yang telah mengalir!

Kampung Melayu Subang
29 Ogos 2013


Rabu, 28 Ogos 2013

Sukarnya Hidup Di Bumi Tuhan



Arus kehidupan
Yang sentiasa sibuk
Meninggalkan sepi
Manusia-manusia
Yang hilang punca
Sesat arah tuju
Hanya termanggu
Tiada apa yang ditunggu
Aku juga sama
Berceratuk di situ.

Melihat dari mata
Yang berbening hibanya
Merangkul erat
Kesedihan
Yang tak sudah
Pandu arahnya
Entah ke mana
Tunduk akur
Dikuasai rasa
Putus asa.

Sukarnya hidup
Untuk terus bernafas
Di bumi tuhan ini.

Himpitan kiri dan kanan
Asakan atas dan bawah
Membeban.

Menanti masa
Yang terbuang sia
Untuk
Kembali
Melangkah
Menyoroti
Arus kehidupan.

Kampung Melayu Subang
28 Ogos 2013



Selasa, 27 Ogos 2013

Bersongkok Tinggi Jalan Berlenggang


Dalam kecam
Yang bertalu
Menikam
Luar dan dalam
Liatnya patah semangat
Tak terluntur
Walau
Sentiasa disengat.

Namun,
Sandiwara berzaman
Terkadang
Lucunya takkan ketinggalan
Jauh sudut
Pandangan
Di buang sahaja
Asal jangan membantah
Yang mana  
Memberi pendapatan!

Sejak dari awal
Penindasan yang tak sudah
Diwariskan sejak berzaman
Untuk tunduk akur
Tanpa banyak soal
Berkeliling membarut
Yang lama di beri pendidikan
Agar sentiasa menurut
Untuk kemasyuran
Masa kehadapan.

Namun,
Busuknya walau telah berzaman
Ditahan
Takkan boleh dibiarkan.

Dan kini,
Apabila putik-putik
Bersuara bertanya soal
Makin deras dan keras
Membantai,
Dibangkitkan bangkai zaman
Untuk dimomokkan
Memberi ingat
Kepada bapak dan emak
Agar zuriatnya
Dimandulkan dari banyak soal!

Maka,
Muncullah perwira
Yang lama di kuburan
Memberi ingat
Agar jangan disiakan pengorbanan
Duduk letaknya
Yang dahulu dizalimi
Ditindas
Yang sekarang penuh nikmat
Jangan sesekali
Diberi gadai semudahnya
Tangis dan rintih
Berdarah semak
Jangan dilupakan!

Siapa dia sang perwira?
Siapa pula si pengkhianat?
Dalam benang sejarah
Yang berselirat
Senantiasa sahaja
Disimpul matikan
Hujung dan pangkal
Mudah amat
Diputuskan!

Dan kini,
Sesudah sedekad
Berceratuk di khayalan
Anak di rumah mati kelaparan
Beruk di hutan enak dibuaikan
Berlembing silat
Mempertahan
Kononnya
Duri yang lama tersemat
Menjadi punca luka semakin bernanah
Sedang ia
Menjadi pagar
Yang tak sudah membiarkan
Padi dirompak
Si penyangak
Yang sentiasa memberi imbuhan!

Kami bukan
Mahu menggadai maruah
Tidak mahu menyerah keramat
Apatah lagi mematah tongkat!
Jika hanya dengan
Bersongkok tinggi
Jalan berlenggang
Dapat mempertahan
Tentu sahaja dilakukan
Tapi,
Sayangnya
Kami bukan mandul pemikiran!
Mudah jatuh terkulai
Hanya kerana sedikit upahan!

Kampung Melayu Subang
27 Ogos 2013




Isnin, 26 Ogos 2013

Untuk Sang Pemikir (didedikasikan pada yang mahu mengerti)

 
Bahagian 2
( Sambungan dari yang Pertama )
(  Hanya Untuk Yang Mahu Mengerti Bukan Yang Mahu Mencaci )

Sesudah dianyam
Tikar sejarah
Bersulam dengan darah
Berselang dengan amarah
Hasilnya
Bercantum jua
Antara
Carik-carik
Sejarah yang hilang
Dipinggir zaman 
Cuba difaham
Untuk dihadam
Masih adakah
Yang mahu mengerti
Kisah jerlus kotor
Nampak jernihnya
Kisah tohor jernih
Tampak kotornya?

Tapi sayang,
Buas sungguh ego
Yang sukar ditundukkan
Tinggi sungguh khayal
Yang sukar diruntuhkan.

Yang tinggal
Si Buapak dan si Anak
Tergapai
Tersepit
Dek arus
Kebodohan!

Kisah bermula
Dari dalam gua,
Melanjut
Menyusul hingga
Di bawah pohon melaka
Mengalir deras hingga
Menjurus pikuk di kuala
Berkubang lumpur pada mulanya.

Sejarah itu mengajar semua
Walau ia
Cuma dengan sendiri
Memayungi
Pihak yang punya kuasa
Terlalu sukar
Merintas adat
Terlalu sukar
Menetas adap
Yang sedari awal ditanamkan
Hati telah lama dilumur hitam
Payah amat difahamkan
Hanya tahu
Menurut dan menuntut
Agar jangan diapakan
Apa di dalam perut
Apa di bawah perut
Kerna itulah
Banyak kisah
Yang terang terus digelap
Yang malap tak digilap
Akhirnya anak bangsa makan
Apa saja yang disuap
Kisah si alah yang
Masih merempat
Masih terlipat
Tertutup rapat.

Soal buah fikir 
Bertikam tak sudah
Fikirkan mana mulanya
Gelombang yang menerpa
Asalnya dari seberang 
Langsung ke perkampungan
Mengapa sahaja tak diempang?
Sedang tahu ia menumpang
Walau ada yang tak senang.

Itu pun tak mahu juga
Memaham caturan
Otak berkarat
Yang hitamnya
Yang putihnya
Terikat di leher
Cuma menurut
Kehendak
Yang akhirnya
Dimomok tak sudah
Mati mata tak terpejam.

Bohong berzaman
Tak mudah terpadam
Denyut melimpah
Hanya menanti dirombak
Dari si perompak
Kononnya si penegak.

Telah sampainya ketika
Walau
Wujudnya telah lama
Membiak dramatis
Bermukah haram
Melahir penjahanam
Lalang menumpang
Menyamar runduk
Padi lagak lakunya
Hingga terdera
Isi segala.

Tak perlu diminta-minta
Memakai adat orang berzaman
Yang telah sendiri kau tinggalkan
Bersama konon menyedarkan
Golongan massa yang terkehadapan
Menghayati jerih lakonan
Untuk apa?!
Untuk kau terus meluku kepala?!
Bukankah telah tersedia
Berkurun lamanya
Peluang yang sering diganti
Untuk membukti benar bicara?
Membangun sama tinggi?
Meruntuh sama rendah?
Tapi telah
Kau salah gunakan!
Baki makan kenyang
Semalaman kaurampas
Dari titis peluh bawahan
Dibuang sisanya
Untuk direbut
Kononya itu kurniaan
Dan kini
Apabila kau di hujung nyawa
Diguna segala
Membingit ke telinga
Tentang jasa
Tentang air mata
Cukuplah!
Telah ramai
Kau candukan
Di saluran perdana
Yang mandul kemaluan
Melahir lohong anak derhaka!
Usahlah menunjukkan
Rasionalnya masih berdiri
Peluang banyak telah diberi
Tapi kau sendiri yang cabuli
Menerus berzaman telah kau buli! 
Sekarang,
Apabila tinggal lagi seinci
Ke tanah lembah sunyi
Tahu pula menggigit jari
Merayu agar diberi
Peluang sekali lagi
Menaburi
Janji berkali-kali
Terlihatlah sudah sisi
Kau ingin melepasi diri!

Ini kisah yang sebenar
Dari corat-coret
Sejarah dahulu kala
Yang ramai ahlinya
Mengunci suara
Kerana tiada untungnya
Asalkan tembolok penuh jua
Asalkan perut penuh selesa
Asalkan di bawah nikmat sentiasa
Yang bodoh bukannya siapa
Mereka-mereka juga
Yang awalnya ketawa
Yang akhirnya ketawa.
Untung diri mu kah?
Rugi diri ku kah?
Hanya dendang berzaman
Sedari dahulu diputarkan
Mendodoi si anak
Yang sejak lahir ditidurkan.

Dan,
Hanya satu
Yang menjadi kepastian
Pecah dan Perintah tetap warisan
Cuma sering bertukar tangan
Sesiapa yang menafikan
Telah meresaplah candu warisan
Ke seluruh jiwa dan badan!

Inilah kisah
Yang ditinggal sejarah
Yang disembunyi penjajah
Yang dibakar waris menjarah
Tentang wira
Tentang air mata
Menarik sendu hiba
Agar meneruskan usaha
Menjahanam anak bangsa!!

Kampung Melayu Subang
17 -  23 Ogos 2013

 

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis