Nuffnang

Penaja

Memaparkan catatan dengan label KegemaranKu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KegemaranKu. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Oktober 2013

Kegemaran : Patah Balek


Tajuk : Patah Balek (Catatan Terpenting Reformasi)
Penulis : Fathi Aris Omar

 Saya memulakan pembacaan buku ini sekitar tahun 2005. Masih lagi di bangku akhir sekolah menengah. Dek kerana terbawa arus R.E.F.O.R.M.A.S.I "jadi-jadian" pada ketika itu yang begitu hangat membadai. Pada mulanya disangkakan tulisan beliau hanya seputar pengalaman dan keagungan R.E.F.O.R.M.A.S.I sahaja, namun ternyata tanggapan pertama saya itu meleset sama sekali.

 Setelah membaca hasil tulisan Fathi Aris Omar ketika itu baharu minda terasa dibuka bedah seluasnya. Apatah lagi makna sebenar R.E.F.O.R.M.A.S.I itu sendiri tak mencerminkan apa sebenarnya makna sebalik Reformasi itu. Fathi pantas menyedarkan saya tentang apa yang dikatakan "politik massa tanpa parti". Tentang politik gerak dari rakyat untuk rakyat. Tentang rombakan yang seharus dilakukan dalam semua sektor bukan sekadar menjadi ekor yang taat kepada kepala yang terkadang sesat terkhilaf mentafsir peta. Reformasi itu mendalam jankauannya.

 Patah Balek juga menyedarkan saya betapa pentingnya menurut tanpa membabi buta, menyangkal tanpa rasa dangkal. Merombak semula apa yang telah dirompak dari celah tangan rakyat. Mencerahkan pengamatan yang semakin kabur dek kerana lalai malas hanya disuap sokong tanpa ingin menghadam berontak tatkala silap. Yang di sebelah Barisan terpukul, yang di sebelah Pakatan juga rasa biratnya.

 Di dalam gelombang pembahuruan politik Malaysia ketika rencana ini ditulis, (yang saya kira Fathi Aris Omar sendiri bersetuju) sebenarnya pencerahan dan pemahaman mengenai politik rakyat masih ditakuk lama.Apatah lagi "politik massa tanpa parti". Ternganga. Yang di bawah masih kekal di bawah gagal menyampai makna sebenar siapa yang di atas. Tidak kira di dalam Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

 Budaya seninya, medianya, ulasannya masih tetap memayung siapa yang melindung memberi untung. Sedang penyakit jiwa dalam pengurusan semua sektor terus tiada pembaharuan. Yang menyokong tak mampu memberi input bangkangan yang berkesan, yang membangkang masih terus tak mahu membangkang bangkangan yang tersasar. Bisu jika terpalit nista, meroyan jika memalit noda.

 Yang siswa/siswi meracau mengulang debat pancar lidah yang dipinjam rompak dari pemimpin atasan. Tanpa sebarang rancangan mahupun idea-idea baharu dalam percambahan pemikiran arus baharu. Inilah yang ditekankan Patah Balek. Bagaimana penting lonjakan ilmiah dilakukan dalam pembudayaan sekitarnya. Kilas "orang lama" ini sememangnya membangkitkan satu perasaan sesal di dalam jiwa. Betapa 'mandulnya' kita sebagai generasi baharu. Sekonyornya.

 Pateh Balek, tanpa mengenal erti kasihan tetap membuatkan hati-hati yang lemah mengimani ideologi jumud parti politik sempit berpencak keras melawan walau sumbang langkahannya. Tanpa menyaring dan memaham sebenar-benarnya lontaran persoalan, denyut rasa renungan yang dinukilkan mana mungkin dapat dicapai pengertiannya?

 Patah Balek, walau telah lebih 5 tahun hasil cetakannya yang pertama, namun, untuk generasi baharu yang konon ingin bangkit mengikut melawan kebobrokan politik kini, dan menggantikan dengan sebaik-baik, sewajarnya menelaah hasil karya berilmu, berpengalaman, berpersoalan ini. Kelak, akan kelihatan R.E.F.O.R.M.A.S.I yang tempang, T.R.A.N.F.O.R.M.A.S.I yang pincang menanti segalanya ditumbang.

 Politik bukan sekadar menurut parti politik, dokongan NGO sealiran, jerit pekik sewaktu berdemo.

" Kalau nak menurut, biar berakal. Kalau mengikut biar pintar." - Puteri Gunung Ledang (2004)

*nota kaki : Bab terakhir dalam Patah Balek amatlah menggelikan hati, tak kering gusi, namun kaya erti, sangat rugi jika tidak mahu memahami.

Sekian,
Wassalam


Rabu, 23 Oktober 2013

Getar Suara Mengalun "Hidup Bersama"


Assalamualaikum w.b.t

 Bergetaran jiwa ini, goncang tulang gemulang, tatkala getus suara tua ini menyaksikan kita masih lagi tak mampu hidup bersama

Youtube.com : Puisi Hidup Bersama

 Mengapa dalam detik masa yang berlalu, kita masih tak termampu untuk merangkul erat makna perpaduan ini? Setiap yang bernyawa pasti punya beda pendapat tetapi dalam khayal telingkah pasti titik sama bertemu  jua.


 Ingatlah, detik ini detik jati, menentu mandiri, gagal sedayanya, ampuh hidup tak mungkin dihadam penuh hemat rasa.

Sekian,
Wassalam.



Ahad, 20 Oktober 2013

Kegemaran : Pemberontakan






Tajuk Novel : Pemberontakan
Penulis         : Jong Chian Lai

 Antara novel berat yang aku sukai dari kalangan penulis bukan berbangsa melayu. Beliau cukup arif dalam mengolah penceritaannya sehingga aku sendiri tidak menyangka bahawa novel ini ditulis oleh seorang berbangsa cina.

 Kisah tentang kebangkitan menentang penjajahan di Sarawak cuma sisinya dari sudut pandangannya. Bukan sekadar sumbangan peribumi sahaja ditonjolkan di dalam novel ini. Kisah bagaimana imigran dari cina bermastautin dan bergerak dalam detak sejarah.

 Pada yang sukakan pembacaan berkisar tentang sejarah, novel ini amatlah berguna. Sementalah penulisnya bukan pula dari kalangan peribumi sendiri. Usah dibangkit soal bangsa. Bangkitkan soal usaha memperkaya bahasa.

“Makna di sebalik kisah sejarah dalam Pemberontakan ialah kesetiaan kepada bangsa dan negara adalah amat penting untuk kekuatan bangsa dan negara itu sendiri. Perjuangan tidak akan terhasil jika ada yang belot dan sanggup melihat bangsa sendiri tertindas.”

(Utusan Sarawak, 27 Disember 2007)


Sabtu, 5 Oktober 2013

Kegemaran : Musafir




Tajuk Novel : Musafir

Penulis : Hasan Ali

 Novel ini diterbitkan kali pertama pada tahun 1959 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Memenangi tempat kedua (tempat pertama tiada pemenang) dalam pertandingan mengarang novel anjuran DBP pada tahun 1958. Mengalahkan 48 buah novel yang lainnya termasuklah novel Gerhana, yang mana kemudiannya ditukar menjadi Salina, tulisan A. Samad Said.

 Kisah yang berkisar perjalanan hidup seorang musafir muallaf cina yang dicemburui perjalanan hidupnya. Novel ini bersikap sederhana sahaja tetapi sarat dan berat dalam persoalan. Adakah hidup ini yang kita semuanya musafir semata akan terus menerus keluar dari zon selesa, fitnah yang menjadi ancaman yang lebih berat dari membunuh, hasad yang tak mungkin luntur dalam kehidupan dan yang paling penting sekali persoalan pemisahan jumud antara bangsa dan agama sedang Islam itu menjanjikan semua bangsa adalah setaraf tiada kelebihannya melainkan iman seseorang.

 Ini kisah tentang seorang mualaf yang sedang bermusafir, ini kisah fitnah dan hasad di atas kemampuan kejayaan seseorang, ini kisah persoalan kemampuan kerajinan dan bersemangat yang asing di mata sekeliling. Ini kisah percambahan pemikiran kolot yang terus menerus jumud tak mahu maju sedang hatinya terancam melihat orang lain yang maju.

 Ini kisah kita yang sedang bermusafir.



Khamis, 3 Oktober 2013

Kegemaran : Tikus Rahmat


Tajuk : Tikus Rahmat

Penulis : Hassan Ibrahim

 Jika anda meminati bacaan bergenre satira politik, karya Hassan Ibrahim ini sememangnya karya yang sewajarnya mendapat perhatian. Tetapi, jika anda menganuti fahaman ideologi politik sempit yang menganggap sastera itu adalah alat politik, lupakan sahaja untuk menghadam karya ini secermatnya. Kita hanya ingin berbicara tentang seni bahasa dan seni budaya semata. Walaupun secara terangan saya sendiri menganuti ideologi politik berlainan dengan penulis novel ini ( Hassan Ibrahim ) namun, ia tidak menghalang untuk saya jatuh cinta dengan karyanya ini.

Tikus Rahmat - Tentang topeng-topeng pendustaan.
Tikus Rahmat - Tentang pandangan-pandangan syak wasangka.
Tikus Rahmat - Tentang buruk gelapnya jika tersalah langkah ikutan.
Tikus Rahmat - Tentang mengeksploitasi dan dieksploitasi sesama bangsa.

 Ini bukan sekadar politik. Ini bukan sekadar bangsa. Ini bukan sekadar agama.
 Ini adalah kehidupan yang sentiasa terseleweng oleh penguasa! Untuk enak di dalam perut, untuk nikmat di bawah perut.

Khamis, 12 September 2013

Kegemaran : Enrique Mengundang Jauh





Tajuk : Enrique Mengundang Jauh

Penulis : H.M Tuah Iskandar

 Pada ketika aku terlalu asyik dengan karya-kaya pemenang anugerah Pak Sako terjumpa dengan karya ini. Entah mengapa mudah amat aku jatuh cinta dengan penceritaan kisah di dalam novel ini. Kisah anak muda mencari makna jati diri. Kisah ekspidisi mencari hakiki. Kaya ilmu dan setiap denyut suka dan duka watak terkesan sehingga kini.

 "JAUH. Mulanya dekat. Dan jarak hanyalah mandala relatif, justeru erti dekat selalu memaknakan jauh, sementelahan makna jauh membandingkan erti dekat. Dan perjalanan menjelajah bumi atma, dibawa
sejauh mana pun ke seantero dunia, tetap kembali. Ke titik paling dekat. Diri."

Enrique – Mengundang Jauh
- cerita tentang orang berpergian jauh
- cerita tentang gelora akibat jauh
- cerita tentang kekebatan bangsa yang dibenam jauh

Enrique – Mengundang Jauh ekspedisi keliling dunia mengabsahkan sejarah:
Bahawa manusia Melayu Panglima Awang @ Ariberto @ Enrique manusia pertama membukti kan bulatnya bumi.


Selasa, 11 Jun 2013

Kegemaran : Iman Markisa






Tajuk buku : Iman Markisa
Pengarang : Aminah Mokhtar

 Buku pertama yang aku beli dengan duit yang ayah beri ketika aku membantunya sebagai tukang kebun. Walau bait-bait ayat yang digunakan pengarang amat sukar aku hadami ketika itu, namun aku gagahi jua menghabiskan pembacaan. Kisah tauladan. Kisah yang aku harap menjadi penguat semangat pada "saudara baharu". Tiap langkahan walau cuba diatur tak terjangkau jua dunia takdir yang mesti dilalui. Ilmu yang sarat, persoalan yang berputar, ranum harum susunan huruf. Hayati dan fahamilah karya ini walau agak payah untuk diteladani. Semoga mendapat manfaat dalam melihat cerminan jati diri.

Khamis, 30 Mei 2013

Kegemaran : Pei Pan


 Tajuk buku : Pei Pan
 Penulis : Ramlee Awang Murshid

 Kisah dendam dan air mata. Kisah gunting dalam lipatan. Kisah seribu satu muslihat manusia berkiblat matlamat tidak mengenal cara. Jatuh bangun seorang manusia. Sebentar di atas, sebentar di bawah. Walau pun karya ini berkisar tentang dunia korporat, tapi banyak kisah yang boleh dijadikan tauladan. Dari puncak bahagia, ke lurah paling dalam dengan nista. Bagaimana dan kenapa. Bergolak jiwa dan raga. Pada yang belum berkesempatan menelaah isi khazanah tak ternilai dalam karya Ramlee Awang Murshid ini, tidak rugi kiranya menjadikan karya ini sebagai simpanan di gedung pembacaan kita.

Rabu, 29 Mei 2013

Kegemaran : Hatiku Terluka Di Bukhara


Tajuk Buku : Hatiku Terluka Di Bukhara
Penulis : Wan Hashim Wan Teh

 bertepatan dengan kata-kata editor bagi buku yang menjadi finalis pertandingan Hadiah Pak Sako ini, "sebuah travelog kaya ilmu". Ketika membaca karya ini, aku masih di tingkatan 4. Hatiku cukup teralun dek jalan cerita buku ini. Tersentuh, teruja bercampur aduk. Wan Hashim Wan Teh begitu bijak dalam penulisannya ini. Terkadang aku sendiri terbawa langsung ke dalam karyanya ini. Terima kasih kepada penulis yang banyak mencurah sedikit titipan perjalannya, pandangannya dan ilmunya. Setelah aku tamat membaca buku ini, air mata mengalir deras. Dunia yang ku lihat pada ketika itu amat kecil dari hakikatnya. Bila agaknya akan aku berjaya melihat dunia yang bukan dari kaca mata katak yang terpelusuk jauh di dalam tempurung?

Rabu, 22 Mei 2013

Kegemaran : Imam


Tajuk buku : Imam
Penulis : Abdullah Hussain

 Tentang Imam. Tentang perubahan. Tentang sisi manusia yang paling jelik. Karya Abdullah Hussain ini berkisar tentang realiti masyarakat kita. Masyarakat yang jumud dan asing dengan perubahan. Banyak sekali teguran dan kritikan yang tersirat perlu kita hayati bersama. Banyak pengajaran yang perlu kita kutip. Nescaya melalui pembacaan karya ini anda akan berasa puas dengan ilmu yang dicurahkan Abdullah Hussain dan terasa dekat dengan pemikirannya, kritisnya yang boleh dijadikan panduan pada mereka yang ingin melangkah jauh meninggalkan pemikiran yang sempit.

Selasa, 21 Mei 2013

Kegemaran : Balada Hilang Peta






Tajuk Buku : Balada Hilang Peta
Penulis : A Samad Said

 Himpunan puisi-puisi Pak Samad yang aku sayangi. Banyak puisi-puisi Pak Samad di dalam buku ini amat terkesan pada ku. Terutama sekali puisi " Lagu Bunga 2 ". Sambungan dari puisi pertama yang Pak Samad dedikasikan selepas kematian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Dalam syahdu yang merindu, puisi Pak Samad terkias jua kritik yang tajam dan sentiasa membuatkan aku terjerumus ke lembah fikir yang mendalam. Semoga dengan mentelaah isi kandungan buku ini kita sama-sama dapat menyingkap seribu satu rasa dalam dunia seni insan yang amat disegani ini.

* Sesekali merindu Pak Samad mendeklamasikan sajak " Lagu Bunga Dua ". Amat terkesan. Bagai tiada sesiapa pun yang layak dapat mendeklamasikan sajak ini selain beliau.

Isnin, 20 Mei 2013

Kegemaran : Tulang-tulang Berselerakan


Tajuk novel : Tulang-Tulang Berselerakan
Penulis : Usman Awang

 Karya Sasterawan Negara ini, selalu membuatkan emosi ku terhambat. Terkadang aku sendiri terhantar ke kancah zaman perang dek kerana Usman Awang menukilkan karyanya ini penuh teliti. Kisah yang bagaikan jurnalis kehidupan Usman Awang sendiri.Penuh emosi dan terkadang terdapat jeritan sanubari penulis dalam setiap lakaran plot di dalam novel ini. Dalam novel ini juga, anda akan dapati betapa tinta Usman Awang bagaikan punya magis. Tidak rugi sekiranya membaca novel ini. Walau kehidupan yang kita lalui adalah selepas perang, namun sekiranya kita mampu menghadamnya dengan baik, pasti anda juga akan sependapat dengan saya.

Ahad, 19 Mei 2013

Kegemaran : Hikayat Amir Hamzah


Tajuk novel : Hikayat Amir Hamzah
Penterjemahan : A Samad Ahmad

 Hikayat Amir Hamzah, adalah karya kesusasteraan Melayu Klasik. Bila disebut "hikayat' pasti terlintas difikiran bahasa Melayu klasik yang digunakan semasa pemerintahan kesultanan Melayu. Amat mendalam kasih dan sayang ku terhadap karya ini. Mungkin bertitik tolak mengenai jejak kisah hidup Amirul Mukminin Amir Hamzah, bapa saudara Nabi Muhammad S.A.W membuatkan aku teruja untuk membaca karya ini. Terima kasih amat pada A Samad Ahmad yang berkerja keras dalam penterjemahan hikayat ini. Pada yang belum membaca hikayat ini, cintailah kisah-kisah hikayat Melayu Klasik, agar karya yang ada terus menjadi warisan di masa yang mendatang.
Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan jika ada yang tertib menjaganya. Ini susur galur kita. Kita kelak yang mempertahankannya.

Sabtu, 18 Mei 2013

Kegemaran : Kawin-Kawin






Tajuk novel : Kawin-kawin
Penulis : Azizi Hj Abdullah

 Novel ini amat menjentik sanubari ku. Pertama kali melihat tajuknya sahaja telah tercuit geli di hati. Kebetulan ketika itu aku baru tamat belajar Bab Perkahwinan dalam Pendidikan Islam tingkatan 5. Selepas membaca karya ini baharulah ku tahu nilai tajuk buku ini. Bertepatan dengan kata pengantar, "sebuah satira penuh emosi, menjentik minda, menjentik hati" tidak lekang senyum di bibir,kerut di dahi,menahan degus nafas. Pada mereka yang belum sempat menghadam karya ini aku berikan kata-kata galakan tetapi jangan hanya tertarik dengan tajuknya sahaja kerana Azizi dalam karyanya amat bijak bermain emosi.Tiap bait ayatnya penuh kritik yang kritis.Dari yang tercantik hingga terhodoh berjaya penulis nukilkan sebaiknya. Luaskan pemikiran anda. Kelak anda dapat menelan satu persatu apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Sebuah karya yang bukan picisan.

Kegemaran : Salina


Tajuk novel : Salina
Pengarang : A Samad Said

 Novel pertama yang ku tekuni membacanya sehingga tamat. Aku kira inilah "cinta pertama" yang bertaut lama padaku. Bertitik tolak dari "percintaan" ini, sehingga kini aku amat menyayangi kesusasteraan melayu. Walau karya Pak Samad ini mendapat kritikan kerana mengangkat sisi hitam seorang wanita era selepas penjajahan Jepun, aku kira itu tidak sedikit pun mematahkan minat ku terhadap karya ini. Pak Samad terbukti berjaya mengolah jalan cerita, lirik bahasa, sehingga terkadang aku dapat rasakan wujud "kehidupan" di dalam karya ini.Pada yang belum berkesempatan menelaah karya ini, tidak rugi untuk kita membuka lembaran dan halusi tiap degup perkataan di dalam karya Sasterawan Negara ini.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis