Di atas kepingan
Sejarah ini,
Ramai yang telah
Terkorban
Ramai yang telah
Dikorban
Hanya untuk meneruskan
Yang di atas
Dijulang setingginya
Yang di bawah
Dihinjak selumatnya.
Di atas kepingan
Sejarah ini,
Matlamat menjadi
Kiblat
Menghalalkan segala
Keji dan nista
Asalkan saja
Kuasa tak dipindah
Ke sesiapa
Yang punya kuasa
Menggila
Yang hilang kuasa
Menangis hiba.
Di atas kepingan
Sejarah ini,
Terlucut terpampang
Ke seluruh dunia
Yang mana intan
Yang mana permata,
Yang mana barua
Yang mana setia,
Apa yang dikejar
Apa yang mengejar,
Apa yang beroleh
Apa yang peroleh,
Tangan siapa
Yang kemudi segala
Akal siapa
Yang mencatur segala.
Di atas kepingan
Sejarah ini,
Akan lahirnya wira
Yang awalnya tiada bernama
Yang akhirnya gah di persada
Cuma,
Segegar mana bumi tuhan ini
Sebasah mana bumi tuhan ini
Tak termampu membayar
Harga maruah
Yang telah
Dijual
Dijaja
Oleh mereka
Si pengkhianat bangsa!
Kampung Melayu Subang
17 Ogos 2013