Tak mengapa saudara,
Jika yang kau lihat
Di sana sandiwara cuma
Merebut hanya kuasa
Sekangkang kera
Menayang bebal seluruh dunia
Jelik matamu memandang
Palitan cuma untuk
Semua yang seagama
Cuma perosak nama.
Tak mengapa saudara,
Jika apa yang kau
Baca
Jika apa yang kau
Lihat
Kau keji semua
Meradang senggugut lakunya
Khalayak yang jonggos
Terpampang budaya
Seperti di alam rimba
Seperti haiwan pengembala.
Tak mengapa saudara,
Jika yang kau lihat
Hanya sebelah mata
Hanya sebelah jiwa
Kami mengerti
Amat payah menggerak
Gertak jiwa
Yang terasuh saluran lama
Memaham yang ini
Bukanlah
Soal kuasa sekangkang kera
Tetapi
Maruah
Yang dirampas
Dengan sehinanya!
Biarlah jelik
Sebelah matamu memandang
Telah lama ianya terpalit
Kepada semua
Yang telah lama buta!
Yang telah rosak jiwa!
Tak mengapa saudara,
Hakmu terpelihara dari segala
Untuk terus mencerca
Untuk terus bercekak
Gaya lama
Hujung pangkal
Yang tiada berpunca
Apatah lagi
Mahu unding tuntas bicara
Kerana
Kami telah kenal semua
Kisah ranjang
Kisah ranjau
Entah dapat tak dibeza!
Tak mengapa Saudara
Sedang kita masih terkesima
Bercucuk hidung sesama
Menggaris sempadan
Untuk kotak bicara
Di sana,
Telah bercambah bencana!
Ketua kepada si gila
Sedang sibuk
Merebut takhta
Sedang sibuk
Berebut nama
Untuk menjadi
Anjing paling setia
Sedang kita?
Masih berbicara
Tentang harga
Tentang kereta!
Kampung Melayu Subang
18 Ogos 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan