Nuffnang

Penaja

Isnin, 26 Ogos 2013

Untuk Sang Pemikir (didedikasikan pada yang mahu mengerti)

 
Bahagian 2
( Sambungan dari yang Pertama )
(  Hanya Untuk Yang Mahu Mengerti Bukan Yang Mahu Mencaci )

Sesudah dianyam
Tikar sejarah
Bersulam dengan darah
Berselang dengan amarah
Hasilnya
Bercantum jua
Antara
Carik-carik
Sejarah yang hilang
Dipinggir zaman 
Cuba difaham
Untuk dihadam
Masih adakah
Yang mahu mengerti
Kisah jerlus kotor
Nampak jernihnya
Kisah tohor jernih
Tampak kotornya?

Tapi sayang,
Buas sungguh ego
Yang sukar ditundukkan
Tinggi sungguh khayal
Yang sukar diruntuhkan.

Yang tinggal
Si Buapak dan si Anak
Tergapai
Tersepit
Dek arus
Kebodohan!

Kisah bermula
Dari dalam gua,
Melanjut
Menyusul hingga
Di bawah pohon melaka
Mengalir deras hingga
Menjurus pikuk di kuala
Berkubang lumpur pada mulanya.

Sejarah itu mengajar semua
Walau ia
Cuma dengan sendiri
Memayungi
Pihak yang punya kuasa
Terlalu sukar
Merintas adat
Terlalu sukar
Menetas adap
Yang sedari awal ditanamkan
Hati telah lama dilumur hitam
Payah amat difahamkan
Hanya tahu
Menurut dan menuntut
Agar jangan diapakan
Apa di dalam perut
Apa di bawah perut
Kerna itulah
Banyak kisah
Yang terang terus digelap
Yang malap tak digilap
Akhirnya anak bangsa makan
Apa saja yang disuap
Kisah si alah yang
Masih merempat
Masih terlipat
Tertutup rapat.

Soal buah fikir 
Bertikam tak sudah
Fikirkan mana mulanya
Gelombang yang menerpa
Asalnya dari seberang 
Langsung ke perkampungan
Mengapa sahaja tak diempang?
Sedang tahu ia menumpang
Walau ada yang tak senang.

Itu pun tak mahu juga
Memaham caturan
Otak berkarat
Yang hitamnya
Yang putihnya
Terikat di leher
Cuma menurut
Kehendak
Yang akhirnya
Dimomok tak sudah
Mati mata tak terpejam.

Bohong berzaman
Tak mudah terpadam
Denyut melimpah
Hanya menanti dirombak
Dari si perompak
Kononnya si penegak.

Telah sampainya ketika
Walau
Wujudnya telah lama
Membiak dramatis
Bermukah haram
Melahir penjahanam
Lalang menumpang
Menyamar runduk
Padi lagak lakunya
Hingga terdera
Isi segala.

Tak perlu diminta-minta
Memakai adat orang berzaman
Yang telah sendiri kau tinggalkan
Bersama konon menyedarkan
Golongan massa yang terkehadapan
Menghayati jerih lakonan
Untuk apa?!
Untuk kau terus meluku kepala?!
Bukankah telah tersedia
Berkurun lamanya
Peluang yang sering diganti
Untuk membukti benar bicara?
Membangun sama tinggi?
Meruntuh sama rendah?
Tapi telah
Kau salah gunakan!
Baki makan kenyang
Semalaman kaurampas
Dari titis peluh bawahan
Dibuang sisanya
Untuk direbut
Kononya itu kurniaan
Dan kini
Apabila kau di hujung nyawa
Diguna segala
Membingit ke telinga
Tentang jasa
Tentang air mata
Cukuplah!
Telah ramai
Kau candukan
Di saluran perdana
Yang mandul kemaluan
Melahir lohong anak derhaka!
Usahlah menunjukkan
Rasionalnya masih berdiri
Peluang banyak telah diberi
Tapi kau sendiri yang cabuli
Menerus berzaman telah kau buli! 
Sekarang,
Apabila tinggal lagi seinci
Ke tanah lembah sunyi
Tahu pula menggigit jari
Merayu agar diberi
Peluang sekali lagi
Menaburi
Janji berkali-kali
Terlihatlah sudah sisi
Kau ingin melepasi diri!

Ini kisah yang sebenar
Dari corat-coret
Sejarah dahulu kala
Yang ramai ahlinya
Mengunci suara
Kerana tiada untungnya
Asalkan tembolok penuh jua
Asalkan perut penuh selesa
Asalkan di bawah nikmat sentiasa
Yang bodoh bukannya siapa
Mereka-mereka juga
Yang awalnya ketawa
Yang akhirnya ketawa.
Untung diri mu kah?
Rugi diri ku kah?
Hanya dendang berzaman
Sedari dahulu diputarkan
Mendodoi si anak
Yang sejak lahir ditidurkan.

Dan,
Hanya satu
Yang menjadi kepastian
Pecah dan Perintah tetap warisan
Cuma sering bertukar tangan
Sesiapa yang menafikan
Telah meresaplah candu warisan
Ke seluruh jiwa dan badan!

Inilah kisah
Yang ditinggal sejarah
Yang disembunyi penjajah
Yang dibakar waris menjarah
Tentang wira
Tentang air mata
Menarik sendu hiba
Agar meneruskan usaha
Menjahanam anak bangsa!!

Kampung Melayu Subang
17 -  23 Ogos 2013

 

Tiada ulasan:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis