Assalamualaikum w.b.t
Hidup sejahtera. Setiap dari kita berkeinginkan hidup kita ini sejahtera. Sejahtera dari kesempitan hidup, hutang yang berkeliling, bebas dari masalah atau tekanan kerja yang seharusnya ditinggalkan setelah habis waktu berkerja. Namun, hidup kita ini sentiasa dihambat dari salah satunya.
Apakah hakikat penciptaan manusia itu sendiri? Adakah kita dapat memenuhi makna sebenar dari penciptaan tuhan terhadap kita? Atau kita dilalaikan terus dari memenuhi makna pencptaan tersebut?
Ya, hidup kita ini adalah untuk mengabdikan diri pada tuhan. Namun begitu, tidak dinafikan yang perjalanan hidup kita atas bumi tuhan ini adalah satu yang diperlukan. Siapa yang tidak mahu bebas keluar dari setiap masalah yang bercambah sehari-hari? Masalah dan tekanan itu akan ada, walau kita cuba sedaya upaya mengurangkannya.
Jangan kita lupa ke atas tanggungjawab hakiki hidup kita ini. Tidak salah jika kita ingin memeluk dakap seeratnya dunia ini, asal tahu di mana hendak dihentikan apa sahaja yang kita kejari di dalam dunia ini seketika demi memenuhi matlamat asal penciptaan kita. Berhenti sejenak.
Sedut sedalam-dalamnya nafas agar bahu yang memberat dengan beban hidup ini dapat digalas seselesanya. Pandanglah pada keluarga yang kita bina selama ini. Mampukah nanti, setelah dikorbankan segala yang ada dalam kehidupan kita ianya akan menjadi sesuatu yang berguna pada kita kelak di penghujungnya? Jika kita dapat menikmati apa yang telah kita korbankan selama ini, tidakkah kita telah mengecap hidup yang sejahtera?
Sekian,
Wassalam.