Assalamualaikum w.b.t.
Hati manusia sentiasa dibolak balikkan dengan pelbagai ragam perasaan. Sebagai manusia kita tidak boleh sama sekali bebas mengatakan yang kita tiada tekanan jiwa. Setiap yang bernyawa ada tanggungjawabnya. Kepada Tuhan yang pertama, kepada diri sendiri dan yang seterusnya kepada keluaraga dan sebagainya.
Setiap tanggungan itu menghasilkan beban yang mungkin tak tertanggung. Maka, kecewa dan tertekan menghasilkan satu lagi tanggungan di dalam jiwa kita iaitu tanggungan tekanan jiwa. Dan apabila jiwa tertekan, mudah amat untuk jiwa kita terluka.
Sering kali jiwa kita terluka, kita gagal mengatasinya. Merintih dan mengadu nasib sahaja tidak memadai. Benar, berdoa agar dikuatkan kekentalan jiwa itu perlu, tetapi sebagai manusia kita juga perlu berikhtiar bagaimana untuk merawatnya dari terus merosakkan jiwa.
Carilah ketenangan di celah-celah kekusutan yang ada. Carilah kecerian walau pun hanya secangkir, nescaya apabila terbit bibit gembira secara ikhlas dari sanubari kita, luka jiwa itu akan perlahan-lahan sembuh. Rakan-rakan dan insan paling istimewa di sisi kitalah sentiasa ada untuk menyokong jatuh kita. Ikhlaskan untuk ketawa setelah mereka memberi cahaya hangat yang menerangkan sedikit jiwa ini dari terus tenggelam ke dasar gelap jiwa yang terluka itu.
Hargailah setiap dari mereka. Dan yang paling penting, setelah jiwa meronta agar tak dilukakan sekali lagi di tempat yang sama, sentiasalah berpandang tinggi dan tak mengharap tinggi. Kita hanyalah manusia biasa bukan? Bersederhana dalam segalanya tak cukupkah untuk memuaskan segala yang dipinta? Rawatlah luka jiwamu dengan ketawa. Apa lagi yang boleh dilakukan ketika benar-benar kusut segala selain dari tenangkan ia seketika?
Sekian
Wassalam.