Kisah kabur
Yang digemburkan
Dari si korban
Di tengah kuburan
Mengapa sentiasa
Dimomokkan?
Tak serikkah digempur?
Ini kisah
Air mata
Berdarah
Sisi gelap
Yang memalukan
Yang dinistakan
Tak diperaku
Oleh seluruh keturunan!
Kecuali terus
Diwariskan
Tanpa meminta
Persetujuan.
Indah khabarnya
Dipermulaan
Dipertengahan
Mula memualkan
Kelak
Bermuntahan
Belum sempat sampai
Ke penghujungan
Itu yang kau
Ingin banggakan?
Sudah-sudahlah
Teriak tangis
Yang sayup
Dari dalam
Makam sejak
5 dekad
Merdeka
Mana mungkin kau
Mampu mendengarnya
Seutuh janji yang
Telah moyang kau
Persiakan?
Kita telah
Berdiri di sini
Walau cuba merombak
Dari saka perompak
Benihnya tetap juga
Menunjangi
Perdu akal
Yang tak terjangkau
Dipergoncangkan
Lalu,
Kita lantas
Duduk diam
Tak mahu bersuara?
Ini soal-soal
Peninggalan
Yang telah aku
Dipusakakan
Ibarat sumpahan
Yang aku junjung
Ke depan
Ke belakang
Waktu
Menanti
Ada wira-wira
Kecil
(Tak mengapa)
Sudi menerima
Warisan
Sumpahan
Sepanjang zaman!
Ya!
Aku mencari
Pewaris takhta sumpahan
Yang telah jemu
Aku di atasnya
Bersemayam
Tanpa disembah
Tak berdaulat
Kerana
Bakal tiba masanya
Aku mesti
Diam senyap
Di perbaringan
Mengikuti
Penyandang yang lebih
Duluan
Meninggalkan beban
Si bebal
Yang memulakan
Ini semua!
Sudikah kau
Mewarisinya
Kelak
Sepanjang zaman?!
Kampung Melayu Subang
Shah Alam
26 Oktober 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan