Nuffnang

Penaja

Sabtu, 26 Oktober 2013

Kegemaran : Patah Balek


Tajuk : Patah Balek (Catatan Terpenting Reformasi)
Penulis : Fathi Aris Omar

 Saya memulakan pembacaan buku ini sekitar tahun 2005. Masih lagi di bangku akhir sekolah menengah. Dek kerana terbawa arus R.E.F.O.R.M.A.S.I "jadi-jadian" pada ketika itu yang begitu hangat membadai. Pada mulanya disangkakan tulisan beliau hanya seputar pengalaman dan keagungan R.E.F.O.R.M.A.S.I sahaja, namun ternyata tanggapan pertama saya itu meleset sama sekali.

 Setelah membaca hasil tulisan Fathi Aris Omar ketika itu baharu minda terasa dibuka bedah seluasnya. Apatah lagi makna sebenar R.E.F.O.R.M.A.S.I itu sendiri tak mencerminkan apa sebenarnya makna sebalik Reformasi itu. Fathi pantas menyedarkan saya tentang apa yang dikatakan "politik massa tanpa parti". Tentang politik gerak dari rakyat untuk rakyat. Tentang rombakan yang seharus dilakukan dalam semua sektor bukan sekadar menjadi ekor yang taat kepada kepala yang terkadang sesat terkhilaf mentafsir peta. Reformasi itu mendalam jankauannya.

 Patah Balek juga menyedarkan saya betapa pentingnya menurut tanpa membabi buta, menyangkal tanpa rasa dangkal. Merombak semula apa yang telah dirompak dari celah tangan rakyat. Mencerahkan pengamatan yang semakin kabur dek kerana lalai malas hanya disuap sokong tanpa ingin menghadam berontak tatkala silap. Yang di sebelah Barisan terpukul, yang di sebelah Pakatan juga rasa biratnya.

 Di dalam gelombang pembahuruan politik Malaysia ketika rencana ini ditulis, (yang saya kira Fathi Aris Omar sendiri bersetuju) sebenarnya pencerahan dan pemahaman mengenai politik rakyat masih ditakuk lama.Apatah lagi "politik massa tanpa parti". Ternganga. Yang di bawah masih kekal di bawah gagal menyampai makna sebenar siapa yang di atas. Tidak kira di dalam Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

 Budaya seninya, medianya, ulasannya masih tetap memayung siapa yang melindung memberi untung. Sedang penyakit jiwa dalam pengurusan semua sektor terus tiada pembaharuan. Yang menyokong tak mampu memberi input bangkangan yang berkesan, yang membangkang masih terus tak mahu membangkang bangkangan yang tersasar. Bisu jika terpalit nista, meroyan jika memalit noda.

 Yang siswa/siswi meracau mengulang debat pancar lidah yang dipinjam rompak dari pemimpin atasan. Tanpa sebarang rancangan mahupun idea-idea baharu dalam percambahan pemikiran arus baharu. Inilah yang ditekankan Patah Balek. Bagaimana penting lonjakan ilmiah dilakukan dalam pembudayaan sekitarnya. Kilas "orang lama" ini sememangnya membangkitkan satu perasaan sesal di dalam jiwa. Betapa 'mandulnya' kita sebagai generasi baharu. Sekonyornya.

 Pateh Balek, tanpa mengenal erti kasihan tetap membuatkan hati-hati yang lemah mengimani ideologi jumud parti politik sempit berpencak keras melawan walau sumbang langkahannya. Tanpa menyaring dan memaham sebenar-benarnya lontaran persoalan, denyut rasa renungan yang dinukilkan mana mungkin dapat dicapai pengertiannya?

 Patah Balek, walau telah lebih 5 tahun hasil cetakannya yang pertama, namun, untuk generasi baharu yang konon ingin bangkit mengikut melawan kebobrokan politik kini, dan menggantikan dengan sebaik-baik, sewajarnya menelaah hasil karya berilmu, berpengalaman, berpersoalan ini. Kelak, akan kelihatan R.E.F.O.R.M.A.S.I yang tempang, T.R.A.N.F.O.R.M.A.S.I yang pincang menanti segalanya ditumbang.

 Politik bukan sekadar menurut parti politik, dokongan NGO sealiran, jerit pekik sewaktu berdemo.

" Kalau nak menurut, biar berakal. Kalau mengikut biar pintar." - Puteri Gunung Ledang (2004)

*nota kaki : Bab terakhir dalam Patah Balek amatlah menggelikan hati, tak kering gusi, namun kaya erti, sangat rugi jika tidak mahu memahami.

Sekian,
Wassalam


Tiada ulasan:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis